SEOUL - Penemuan empat mayat termasuk seorang wanita di destinasi pelancongan terkenal di Korea Selatan dalam tempoh tiga hari mencetuskan spekulasi dalam talian bahawa seorang pembunuh bersiri mungkin sedang mengganas.
Lebih 12 individu dilaporkan hilang di Pulau Jeju dalam beberapa minggu kebelakangan ini sehingga mencetuskan skandal dalam pasukan polis yang didakwa cuba menyembunyikan kebenaran apabila menutup sejumlah kes lebih awal.
Bagi meredakan kebimbangan orang ramai, Presiden Lee Jae-myung bertindak campur tangan.
"Saya menuntut agar pasukan polis lebih telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas. Mereka berkemungkinan memegang kuasa paling besar berbanding institusi kerajaan yang lain.
"Tetapi, orang ramai kini mempersoalkan sejauh mana polis mampu melaksanakan tugas yang begitu besar," tegasnya ketika mesyuarat Kabinet pada Selasa yang turut mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap pengendalian kes-kes berkenaan dan menggesa pembaharuan dalam pasukan polis bagi mengelakkan kelemahan yang sama berulang.
Setakat ini, tiada bukti yang mengesahkan kewujudan pembunuh bersiri di pulau itu. Kes yang paling mendapat perhatian melibatkan Jang Mi-ran, 37, yang dilaporkan hilang pada 12 Mei lalu. Mayatnya dalam keadaan mereput ditemui pada Isnin lalu di sebuah ladang kelapa sawit di Hallim-eup, kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa menginap.
Polis mengesahkan identitinya melalui bedah siasat manakala analisis DNA secara berasingan masih dijalankan. Penyiasat memaklumkan laporan awal menunjukkan tiada tanda jelas kecederaan luaran pada tubuhnya.
Kedudukan mayat menyebabkan polis mengesyaki dia mungkin mengambil nyawanya sendiri. Namun, punca sebenar kematiannya masih disiasat.
Padam kes
Ketika ini, pasukan polis turut dihimpit kontroversi melibatkan seorang pegawai yang mengendalikan 298 kes orang hilang dalam tempoh kira-kira 17 bulan.
Pihak berkuasa kini meneliti semula kesemua laporan tersebut bagi mengesahkan kemungkinan berlaku salah laku.
Pegawai berkenaan hadir di mahkamah pada Selasa untuk prosiding waran tangkap. Dia menghadapi beberapa dakwaan termasuk cuai dalam menjalankan tugas, memalsukan rekod elektronik rasmi dan menghalang tugas rasmi.
Kes kehilangan itu mendedahkan kelemahan serius dalam pengendalian kes orang hilang oleh polis Jeju. Pegawai tersebut didakwa memberitahu teman lelaki Mi-ran bahawa dia telah menghubungi wanita itu yang mahu lokasi keberadaannya dirahsiakan. Namun, penyiasat tidak menemui sebarang rekod panggilan yang menyokong kenyataan tersebut.
Pegawai itu kemudiannya menutup kes berkenaan dan memadam maklumat berkaitan kes orang hilang daripada sistem.
Pelaku sama turut menutup secara tidak wajar satu lagi kes kehilangan melibatkan seorang lelaki berusia 60-an yang ditemui meninggal dunia pada 22 Ogos lalu.
Tiada bukti
Susulan kemarahan orang ramai memuncak, Agensi Polis Kebangsaan Korea Selatan (NPA) menggantung tugas empat pegawai kanan di Balai Polis Jeju Seobu termasuk ketua balai semasa dan bekas ketua balai serta dua pegawai penyiasat kanan.
Tindakan tegas itu diambil setelah banyak pihak mempersoalkan cara pihak terlibat mengendalikan kes tanpa siasatan menyeluruh. NPA turut menyemak semula prosedur pengendalian kes orang hilang.
Di media sosial, perkongsian peta yang menandakan lokasi beberapa kes orang hilang di Pulau Jeju sejak beberapa minggu lalu semakin mendapat perhatian, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada kes-kes kehilangan dan kematian tersebut mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Namun, peta-peta tersebut belum dapat membuktikan bahawa kes-kes berkenaan mempunyai kaitan atau melibatkan pelaku yang sama, manakala polis juga belum menemukan sebarang hubungan antara keempat-empat kematian tersebut.
Dakwaan mengenai pembunuh bersiri atau sindiket pemerdagangan manusia masih belum disahkan manakala rentetan kejadian yang seakan-akan plot drama Korea itu terus kekal menjadi misteri. - Agensi