KUALA LUMPUR - Empat sekeluarga membabitkan pasangan suami isteri dan dua anak ditemui mati di sebuah kondominium di Desa Parkcity, Kepong di sini pada Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, laporan diterima pihaknya pada jam 3.32 petang berhubung seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun ditemui mati di bangunan kediaman terbabit.
Menurutnya, pihak polis telah ke rumah mangsa dan berjaya membuka pintu unit berkenaan dengan bantuan pihak bomba.
"Seorang wanita berumur 47 tahun dan merupakan isteri mangsa, dua kanak-kanak masing-masing perempuan dan lelaki berumur sembilan dan tujuh tahun merupakan anak kepada pasangan tersebut.
"Ketiga-tiga mangsa didapati mengalami kecederaan parah pada bahagian leher," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Fadil berkata, pihak polis turut menemukan sebilah pisau dipercayai digunakan untuk melakukan perbuatan tersebut.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
Jelasnya, kes diklasifikasi di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta mati mengejut (SDR).