Thierry Henry cetus minat Tengku Amir terhadap Arsenal

Iklan
Tengku Amir (dua dari kanan) semasa melawat reruai selepas Dialog Diraja di Hyprground Pickleball, Seksyen 19 pada Khamis.

RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah mendedahkan bukan sahaja menyokong Selangor FC, malah merupakan penyokong tegar kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal dan peminat pasukan Formula 1 (F1), McLaren.

Berkongsi sisi peribadi dalam sesi dialog diraja, baginda bertitah, minat terhadap The Gunners bermula sejak era Thierry Henry yang menjadi antara pemain kegemaran baginda.

Iklan
Iklan

"Saya peminat Arsenal, bermula ketika zaman Thierry Henry, dialah yang membuatkan saya benar-benar berminat dengan Liga Perdana Inggeris.

"Memang hebat melihat dia bermain dan sekarang dia menjadi pengulas, tetapi masih kelakar, malah seronok melihat beliau masih di kaca televisyen, cuma berada di sisi yang berbeza," titah baginda ketika Program Dialog Diraja dan Sesi Rangkaian Perniagaan Nadi di Hyprground Pickleball, Seksyen 19, Petaling Jaya di sini pada Khamis.

Iklan

Selain bola sepak, Tengku Amir bertitah, baginda turut meminati tenis dan menjadikan legenda tenis dunia, Roger Federer sebagai antara pemain pilihan.

Baginda juga tidak ketinggalan mengikuti perlumbaan F1 dan menyokong pasukan McLaren.

Iklan

"Sukan F1 pula, saya peminat McLaren. Ia bermula dengan Mika Hakkinen dan David Coulthard, tetapi sekarang Lando Norris dan Oscar Piastri," titah baginda.

Menariknya, minat baginda terhadap sukan bukan sekadar sebagai peminat, sebaliknya turut diterjemahkan menerusi usaha memperkasakan pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

Tengku Amir berkata, kejayaan Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2026 membuktikan kualiti dan daya saing golongan muda negeri itu.

Baginda bertitah, pembangunan sukan perlu diteruskan dengan mewujudkan lebih banyak platform pertandingan supaya golongan muda dapat beraksi secara konsisten.

"Kita perlu terus mewujudkan pertandingan. Golongan muda perlu bermain secara berkala setiap hujung minggu dan bertanding supaya sepanjang minggu mereka boleh berlatih.

"Memiliki mentaliti kemenangan dan matlamat yang jelas akan mendorong mereka untuk membangunkan semua jenis sukan," titah baginda.

Baginda turut menyifatkan platform sukan sosial sebagai penting dalam mencungkil bakat baharu termasuk menerusi Selangor Champions League yang dibangunkan bagi mengenal pasti pemain terbaik daripada liga sosial.

Tengku Amir bertitah, minat baginda terhadap sukan kini turut berkembang kepada catur selepas melihat penglibatan pemain Manchester City, Erling Haaland dalam pembangunan sukan berkenaan di Norway.

Baginda berkata, satu acara catur sosial yang disertai kira-kira 300 pemain baru-baru ini menunjukkan masyarakat sememangnya mempunyai minat untuk bersaing dan menguji kemahiran masing-masing.

"Kita perlu melihat pertumbuhan aspek kompetitif dalam sukan sosial. Di situlah kita boleh melihat pertumbuhan dan peningkatan kualiti sukan," titah baginda.