SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan kesal dengan tuduhan tidak berasas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengaitkan dirinya dengan proses pengambilan pekerja asing.
Bekas Menteri Sumber Manusia itu berkata, beliau tidak pernah terlibat secara peribadi dalam pengambilan pekerja asing mahupun melibatkan mana-mana ahli keluarganya sepanjang memegang jawatan terbabit.
Beliau memaklumkan, nota Jemaah Menteri pada 13 April 2022 turut menjelaskan bahawa Menteri Sumber Manusia tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pengambilan pekerja asing, selain pusat sehenti khas (OSC) membabitkan pelbagai kementerian akan ditubuhkan bagi mempercepatkan proses pengambilan pekerja asing
"Dalam tempoh saya berkhidmat sebagai Menteri Sumber Manusia, segala permohonan pengambilan pekerja asing dibuat menerusi sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS).
"Mana-mana syarikat yang ingin mengambil pekerja asing hanya boleh membuat permohonan menerusi sistem berkenaan sebelum pemilihan syarikat yang layak menghadiri sesi temu duga dibuat secara automatik," katanya dalam satu surat diutus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saravanan memaklumkan, sebaik sahaja sistem memilih, ia akan panjangkan senarai tersebut kepada OSC di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Beliau berkata, fakta utama dalam kes itu ialah syarikat terbabit tidak layak mengendalikan urusan temu duga pengambilan pekerja asing di peringkat KSM sekiranya tidak melalui saringan sistem FWCMS.
Saravanan turut mendakwa dua individu iaitu Syed Amirul dan Siva Ganesan yang ditahan pada Ogos 2022 berkaitan proses pengambilan pekerja asing telah dipaksa membuat pengakuan tanpa rela semata-mata untuk mengaitkan namanya.
Menurutnya, walaupun kes itu sebelum ini telah selesai tanpa sebarang siasatan terhadapnya, namun isu sama telah dibangkitkan semula meskipun Syed Amirul telah meninggal dunia pada 28 Julai 2026.
"Kini, pihak SPRM dilihat cuba meneruskan tindakan terhadap saya pada ketika saksi utama tidak wujud lagi," katanya.
Dalam pada ini, beliau juga telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Perdana Menteri sejak November 2025 berhubung perkara itu dan diberi jaminan bahawa tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadapnya.
Bagaimanapun, beliau amat kesal kerana SPRM secara tiba-tiba telah memulakan tindakan undang-undang atau siasatan terhadap dirinya.
“Kes ini jelas tidak berasas dan wajar dihentikan serta-merta demi memelihara integriti semua pihak yang terlibat,” tambahnya lagi.
Menurut beliau, antara fakta penting kes itu ialah tiada rampasan wang tunai atau bahan bukti material yang dikaitkan dengannya, selain beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada mana-mana pegawai kerajaan.
Beliau turut menegaskan bahawa kuasa kelulusan pengambilan pekerja asing bukan berada di tangannya serta beliau tidak mengenali mana-mana pemohon yang dinamakan dalam pertuduhan.
Saravanan berkata, sepanjang proses itu juga tiada sebarang bentuk komunikasi berlaku antaranya dengan Syed Amirul atau mana-mana individu lain yang dikaitkan dengan kes berkenaan.
Justeru, beliau yakin bahawa Perdana Menteri selaku ketua kerajaan amat prihatin dan menyedari bahawa tindakan diambil terhadapnya merupakan satu bentuk penganiayaan serta mempunyai motif jahat daripada pihak agensi kerajaan.