KUALA LUMPUR - Kegiatan sindiket perlombongan haram di seluruh negara dibongkar dengan rampasan mencecah hampir RM119 juta.
Pembongkaran itu dikesan hasil pelaksanaan Op Gali Mega bermula 19 hingga 23 Ogos yang digerakkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman melalui elemen Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pasukan Gerakan Udara (PGU) di 10 negeri.
Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 45 lokasi perlombongan telah diperiksa dengan 14 lokasi di Sabah, diikuti Sarawak (tujuh), Pahang (enam), Selangor (empat), Kelantan (tiga), Terengganu (tiga), Perak (tiga), Negeri Sembilan (dua), Kedah (dua) dan Johor (satu).
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 24 lombong haram dikesan dan 21 lombong mempunyai lesen perlombongan yang sah.
"Seramai 146 individu telah diperiksa dan daripada angka tersebut seramai 99 orang berusia 18 hingga 64 tahun telah ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan 61 tempatan dan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Jumlah nilai rampasan yang berjaya dilaksanakan hampir RM119 juta.
"Daripada jumlah itu 33,000 tan hasil bumi hampir RM21 juta membabitkan kaolin 100 tan (hampir RM60,000), arang batu (8,524.78 tan RM4.2 juta), kuari batu atau tanah (313,540.06 tan RM12 juta) dan pasir (9,144.82 tan RM4.5 juta)," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Khamis.
Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Teknikal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia, Datuk Ir Ahmad Zukni Ahmad Khalil.
Mohd Yusri berkata, selain itu, 55 kenderaan telah dirampas yang membawa nilai sebanyak hampir RM14.8 juta, 87 buah jentera berat telah dirampas yang membawa nilai kira-kira RM38.7 juta.
Tambahnya, lain-lain rampasan melibatkan 194 pelbagai unit peralatan melombong yang membawa nilai hampir RM44.3 juta.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pihak polis telah mengesan seramai 32 individu dan 21 syarikat yang terlibat dalam aktiviti perlombongan ini.
"Senarai individu dan syarikat yang terlibat telah diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tindakan siasatan bagi mengesan ketirisan cukai," ujarnya.
Katanya lagi, pembanterasan aktiviti perlombongan haram dapat mengurangkan risiko pencemaran sungai, hakisan tanah, kemusnahan hutan, sedimentasi serta kerosakan kawasan tadahan air dan habitat semula jadi.
"Operasi bersepadu ini berupaya mengesan kesalahan lain yang berkaitan seperti penggunaan PATI, penyalahgunaan permit, pencerobohan tanah kerajaan, kesalahan alam sekitar, penyelewengan bahan api serta kemungkinan aktiviti pengubahan wang haram," ujarnya.
Op Gali Mega ini turut melibatkan Pejabat Tanah Galian, JMG, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
"Siasatan juga akan diteruskan dengan semua agensi penguat kuasa termasuk elemen rasuah serta rantaian sindiket.
"Kita tidak tolak kemungkinan ada penglibatan ahli geologi dan pakar perlombongan dari luar negara. Kita juga syaki ada antara perlombongan di satu negeri tertentu mempunyai kaitan," ujarnya.
Tegasnya, pihak polis menyeru agar masyarakat tidak berkompromi dengan kegiatan perlombongan haram.