KOTA BHARU - Hampir sebulan persiapan dilakukan Masjid Al-Munir, Mukim Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini bagi memastikan segala keperluan tersedia untuk menerima kira-kira 1,000 peserta Tema Malaysia #QuranHour (MQH) peringkat Kelantan pada 30 Ogos ini.
Imam Tua Masjid Al-Munir, Wan Muhammad Wan Zakaria berkata, ahli jawatankuasa (AJK) masjid bersama jemaah berganding bahu termasuk mengadakan gotong-royong bagi menyediakan ruang dan kemudahan yang termampu untuk program berkenaan.
“Kami mempunyai kemudahan ruang dapur dan tempat jamuan selain mendapatkan bantuan tambahan katering bagi menyambut kedatangan peserta.
Wan Muhammad berkata, pihak masjid turut membuat persediaan dengan membersihkan ruang masjid dan kawasan parkir untuk memastikan peserta dapat mengikuti pengisian MQH dalam keadaan selesa.
Katanya, penglibatan jemaah dan AJK sepanjang tempoh persiapan itu turut mewujudkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat.
“Kami sediakan yang termampu dan berharap semuanya berjalan lancar pada hari program,” katanya.
Menurutnya, penganjuran MQH juga dilihat sebagai peluang untuk membawa lebih ramai masyarakat mendekati al-Quran, selaras dengan usaha berterusan Masjid Al-Munir mengimarahkan kitab suci itu.
Beliau berkata, pihak masjid sendiri mengadakan bacaan al-Quran selepas solat Subuh sejak beberapa tahun lalu, termasuk program khatam bersama jemaah.
“Sekitar 60 orang pernah bersama-sama dalam program khatam al-Quran, manakala jemaah solat Subuh pula boleh mencecah kira-kira 100 orang termasuk 30 hingga 40 jemaah wanita.
“Jadi, MQH ini kita anggap sebagai satu peluang untuk membuka ruang kepada lebih ramai masyarakat bersama-sama dengan al-Quran,” katanya.
Beliau turut mengajak masyarakat khususnya sekitar Kota Bharu dan Pantai Cahaya Bulan hadir bersama keluarga ke Masjid Al-Munir pada 30 Ogos ini untuk bertabbur melalui MQH.
“Pakat mari belaka. Kita sama-sama hidupkan masjid dengan al-Quran,” katanya.