SHAH ALAM - Status keselamatan 17 rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas masih belum dapat disahkan susulan masalah komunikasi dan isyarat liputan di lokasi bencana di daerah Rasuwa.
Wakil agensi pelancongan Fishtail Tours & Travels, Roshan Panday berkata, usaha mendapatkan maklumat terkini sedang dijalankan termasuk menghubungi pihak berkaitan bagi mengesahkan keadaan sebenar.
Menurutnya, sebarang maklumat yang belum disahkan tidak akan dikongsikan bagi mengelak kekeliruan atau penyebaran berita tidak tepat.
BERITA BERKAITAN: Banjir Nepal: Angka kematian meningkat 160 orang, lebih 680 masih hilang
Banjir Nepal: Lebih 50 rakyat Malaysia gagal dihubungi
95 maut, 484 hilang susulan banjir di utara Nepal
17 rakyat Malaysia antara ratusan hilang susulan banjir kilat di Nepal
Lebih 380 pelancong termasuk 291 warga asing hilang selepas banjir di Nepal
11 rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi susulan banjir di Nepal - Wisma Putra
"Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mewujudkan hubungan dan mengesahkan keadaan, namun buat masa ini, kami tidak mahu memberikan sebarang maklumat yang belum disahkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Roshan, pihaknya juga tidak dapat mendedahkan nama serta butiran peribadi pelanggannya tanpa mendapat persetujuan individu berkaitan atau ahli keluarga mereka.
"Kami akan berkongsi sebarang maklumat yang telah disahkan sebaik sahaja ia diperoleh.
"Kami perlu menghormati privasi dan tidak boleh berkongsi butiran peribadi tanpa kebenaran yang sewajarnya," katanya lagi.
Setakat jam 5 petang (waktu tempatan) Roshan memaklumkan pihaknya menunggu perkembangan terkini daripada pasukan penyelamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan.
Terdahulu media melaporkan, seramai 17 rakyat Malaysia yang diuruskan agensi yang berpangkalan di Nepal itu dalam perjalanan menuju ke Gunung Kailash di Tibet, China bagi melaksanakan upacara keagamaan.
Kumpulan itu tiba di Nepal, Ahad lalu bagaimanapun masih gagal dihubungi dalam tempoh lebih 24 jam ekoran bencana banjir berhampiran sempadan Nepal-Tibet pada Rabu.
Bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah Rasuwa dan Nuwakot berpunca daripada hujan lebat serta runtuhan glasier di sepanjang laluan Sungai Bhote Koshi.