KUALA LUMPUR - Mendapatkan pekerjaan pertama masih menjadi cabaran bagi ramai anak muda Malaysia apabila kadar pengangguran dalam kalangan belia berusia 15 hingga 24 tahun pada Jun 2026 kekal 10.2 peratus.
Angka itu membabitkan kira-kira 292,200 belia, berbanding kadar pengangguran keseluruhan negara sebanyak 3.0 peratus.
Dalam keadaan itu, golongan muda bukan sahaja memerlukan peluang pekerjaan, tetapi kemahiran yang diiktiraf, pengalaman sebenar di tempat kerja serta laluan yang jelas untuk berkembang dalam kerjaya.
Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia membuktikan komitmennya memperkasakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) apabila berjaya melahirkan hampir 5,500 graduan sejak ditubuhkan pada 2018, dengan sekitar 80 peratus meneruskan kerjaya bersama McDonald’s Malaysia (McDonald's).
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, tanggungjawab industri tidak seharusnya berakhir dengan menawarkan pekerjaan pertama.
Sebaliknya, menurut beliau, industri perlu menyediakan latihan, kelayakan yang diiktiraf dan laluan kerjaya jangka panjang kepada golongan muda.
"Tanggungjawab industri tidak seharusnya berakhir dengan menawarkan pekerjaan pertama. Kita juga perlu menyediakan latihan, kelayakan yang diiktiraf dan laluan kerjaya untuk jangka panjang.
"Setiap anak muda berhak mendapat peluang untuk membina masa depan, tanpa mengira latar belakang atau titik permulaan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-6 Akademi Vokasional McDonald's Malaysia yang meraikan 359 graduan baharu di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur.
Majlis konvokesyen itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Zainal Abas dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Ts Dr Kamaruzaman Md Ali.
Mengulas lanjut, Azmir berkata, pendekatan latihan berasaskan industri penting dalam membantu golongan muda membina kemahiran, keyakinan dan pengalaman yang diperlukan untuk berkembang dalam kerjaya.
Akademi berkenaan ditubuhkan dengan kerjasama JPK di bawah Kementerian Sumber Manusia dan mengendalikan program selama 18 bulan dikenali sebagai Akademi Dalam Industri (ADI), yang dahulunya Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Program itu menggabungkan 30 peratus pembelajaran teori di dalam kelas dan 70 peratus latihan praktikal di restoran, membolehkan peserta memperoleh kemahiran teknikal, pengalaman kerja sebenar serta membina disiplin, keyakinan, kemahiran berkomunikasi dan kerja berpasukan.
Graduan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 sebagai sebahagian daripada sistem Persijilan Kemahiran Malaysia yang selaras dengan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), selain berpeluang meneruskan latihan ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4.
80 peratus graduan pilih kerjaya bersama McDonald’s
Program itu turut dinilai berdasarkan Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTPA) yang membabitkan JPK dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
McDonald’s Malaysia merupakan syarikat restoran khidmat segera pertama mendapat status MQA berkenaan, sekali gus membantu graduan memperoleh kelayakan yang diiktiraf untuk meneruskan pendidikan, meningkatkan kemahiran dan membina kerjaya dalam pelbagai bidang.
Dari segi laluan kerjaya, sekitar 80 peratus graduan meneruskan kerjaya bersama McDonald’s Malaysia, manakala lebih 250 graduan berkembang ke jawatan penyeliaan dan pengurusan.
Laluan kerjaya itu membolehkan graduan bermula sebagai kru restoran sebelum berkembang menjadi ketua kru, penolong pengurus restoran dan seterusnya pengurus restoran.
Mereka juga berpeluang mengikuti latihan lanjutan serta membina kerjaya dalam peranan operasi atau korporat.
Azmir turut menjadikan perjalanan kerjayanya sendiri sebagai bukti keberkesanan laluan berkenaan apabila beliau memulakan kerjaya bersama McDonald's sebagai Pelatih Pengurusan pada 1992 sebelum dilantik menerajui syarikat itu.
Rozel dan Mageswaran melakar sejarah
Sementara itu, Rozel Iswandy, 19, yang mewakili komuniti Orang Asli dari Tapah, Perak, turut membuktikan latar belakang bukan penghalang apabila berjaya dilantik sebagai Ketua Kru.
Rozel yang berkhidmat di cawangan Taylor’s University, Subang Jaya sejak hampir tiga tahun lalu menggesa lebih ramai belia komuniti Orang Asli merebut peluang latihan vokasional yang ditawarkan.
"Untuk rakan-rakan Orang Asli, sertai sahaja kerana tiada sebarang perbezaan.
"Bagi belia berusia 16 tahun, mereka boleh menyertai akademi dalam industri selama setahun lapan bulan, manakala yang berumur 20 tahun ke atas boleh menyertai sebagai kru biasa," katanya.
Pada masa sama, kejayaan program itu turut terserlah menerusi kisah Mageswaran Nagappan, 43, yang dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Perantis Cemerlang Keseluruhan.
Mageswaran yang bertugas sebagai Barista Lead di McDonald’s Kelana Jaya SS6 berkata, beliau pada awalnya ragu-ragu untuk mengikuti program berkenaan kerana faktor usia dan tidak pernah ke kolej sebelum ini.
Beliau mula menyertai syarikat itu selepas kehilangan pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum mendapat peluang melanjutkan pengajian selama 18 bulan di bawah tajaan penuh McDonald's.
"Saya rasa sangat bangga kerana tidak pernah terfikir secara tiba-tiba boleh mendapat anugerah keseluruhan ini.
"Walaupun pada mulanya ragu-ragu memandangkan faktor umur dan tidak pernah ke kolej sebelum ini, dorongan tenaga pengajar membolehkan saya melengkapkan Sijil Ke- mahiran Malaysia (SKM) secara percuma," katanya.
Persekitaran pembelajaran yang inklusif, merangkumi pelajar seawal usia 16 tahun sehingga melebihi 50 tahun, selain ditawarkan secara percuma, turut menjadi antara faktor pendorong kejayaan mereka.
Kedua-dua graduan itu turut mengakui program pengajian berkenaan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka secara lebih sistematik, khususnya dari segi kerja berpasukan, komunikasi dan hospitaliti.
Selain Akademi Vokasional, McDonald's Malaysia turut memperkasakan pembangunan bakat menerusi Hamburger U, iaitu institusi latihan dan kemahiran dalaman bagi kursus pentadbiran, kepimpinan dan pengurusan restoran.
Syarikat itu turut mengukuhkan kolaborasi universiti-industri menerusi Program Perantis Pengurusan (MAP), Program Kebolehpasaran Kerja Graduan (GEP), Program Perantisan Industri (IP) serta Program Pembelajaran 3U1i (3 Tahun Universiti – 1 Tahun Industri) bagi pengajian ijazah sarjana dan sarjana muda, yang menawarkan pekerjaan serta-merta selepas tamat pengajian.
Bagi Mageswaran dan Rozel, perjalanan mereka belum berakhir apabila kedua-duanya menyasarkan untuk terus melangkah jauh dalam struktur organisasi McDonald’s, termasuk menjadi pengurus restoran hingga berkhidmat di ibu pejabat pada masa hadapan.