SHAH ALAM - Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menyempurnakan pelancaran Modul Integriti Kanak-Kanak (MIKa) di Tabika Perpaduan Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis.
Institut Integriti Malaysia (IIM) dalam satu kenyataan berkata, inisiatif strategik yang dilakukan bersama Kementerian Perpaduan Negara dan pelbagai agensi itu menerapkan nilai integriti menerusi pembinaan karakter positif sejak seawal usia.
Menurutnya, MIKa merupakan penjenamaan semula dan penambahbaikan menyeluruh Modul Integriti Prasekolah (MIPS) yang diperkenalkan pada 2016 hingga 2017 dan dibangunkan selaras dengan Kurikulum PERMATA Negara serta Kurikulum Prasekolah 2026.
"Pembangunan MIKa yang bermula sejak tahun 2024 telah mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada 35 orang pakar pendidikan awal kanak-kanak.
"Modul ini memfokuskan kepada kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun di semua taman asuhan kanak-kanak (Taska), taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan prasekolah di seluruh negara.
"Modul ini menyokong penuh Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) di bawah Teras Pendidikan dan Pembinaan Insan Berintegriti," ujarnya pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tambah IIM, pihaknya meletakkan sasaran besar agar MIKa dapat menjangkau keseluruhan ekosistem pendidikan awal kanak-kanak yang merangkumi lebih 31,000 buah premis dengan anggaran seramai 775,000 kanak-kanak di seluruh negara menjelang tahun 2030.
Jelasnya, bagi memastikan keberkesanan penyampaian MIKa yang berteraskan pemupukan dan pembentukan nilai asas seperti berkata benar, jujur, amanah, bertanggungjawab dan hormat-menghormati, pelbagai bahan menarik serta mesra kanak-kanak disediakan.
"Antaranya adalah Kompilasi Panduan Asas Sesi (KomPAS) dan penghasilan 12 buah buku cerita, 12 buah lagu serta video muzik khas sebagai medium pembelajaran yang dekat dengan jiwa kanak-kanak.
"Kejayaan pembangunan MIKa ini didokong oleh pelbagai kementerian dan agensi utama termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan ramai lagi.
"Pelancaran MIKa hari ini bukan sekadar memperkenalkan modul pendidikan, malah menjadi seruan moral kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama membudayakan integriti dari usia awal kanak-kanak lagi," ulasnya.