Menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) minggu depan, pastinya perhatian kembali tertumpu kepada satu istilah ekonomi yang sering dikaitkan dengan kehidupan seharian rakyat iaitu Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR).
“OPR naik, ansuran rumah naik.”
Itulah tanggapan yang sering timbul setiap kali Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan keputusan mengenai OPR. Malah, ada juga yang menganggap jika OPR tidak berubah, itu bermakna tiada apa-apa yang berlaku.
Hakikatnya, sama ada OPR dinaikkan, diturunkan atau dikekalkan, setiap keputusan itu dibuat selepas penelitian rapi terhadap keadaan serta prospek ekonomi negara.
Lebih penting, keputusan tersebut boleh mempengaruhi keadaan kewangan, termasuk kos pembiayaan, pulangan simpanan, perbelanjaan isi rumah dan pelaburan perniagaan, yang akhirnya memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan tahap harga.
Justeru, memahami OPR bukan sekadar soal mengetahui sama ada ansuran pinjaman akan berubah, tetapi memahami bagaimana dasar monetari membantu menyokong kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam jangka panjang.
Pakar ekonomi yang juga Timbalan Naib Canselor University College, Prof Datuk Shazali Abu Mansor berkata, OPR merupakan instrumen utama dasar monetari yang ditentukan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari untuk mempengaruhi keadaan monetari dan kewangan bagi menyokong kestabilan harga serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Menurut beliau, sebarang perubahan OPR disalurkan melalui sistem kewangan dan boleh mempengaruhi kadar pembiayaan serta keadaan kewangan secara keseluruhan.
“Sebagai contoh, jika penilaian menunjukkan tekanan inflasi dijangka meningkat pada masa hadapan, Jawatankuasa Dasar Monetari boleh mempertimbangkan pelarasan OPR bagi membantu memastikan inflasi kekal terkawal dalam tempoh sederhana.
“Sebaliknya, jika prospek pertumbuhan ekonomi dilihat semakin perlahan, OPR boleh diselaraskan bagi menyokong aktiviti ekonomi melalui kos pembiayaan yang lebih kondusif,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Ibarat pemanduan kenderaan
Shazali mengibaratkan pelaksanaan dasar monetari seperti memandu sebuah kenderaan menuju destinasi.
Menekan pedal minyak membolehkan kereta bergerak lebih laju, namun perjalanan yang selamat tidak bergantung kepada kelajuan semata-mata. Pemandu juga perlu mengawal stereng, menggunakan brek pada masa yang sesuai dan sentiasa memerhatikan keadaan jalan di hadapan.
Begitu juga dasar monetari. Keputusan mengenai OPR bukan hanya berdasarkan keadaan ekonomi semasa, sebaliknya turut mengambil kira penilaian terhadap perkembangan ekonomi dan inflasi yang dijangka berlaku pada masa hadapan.
Sekiranya penilaian menunjukkan ekonomi berpotensi berkembang terlalu pantas sehingga boleh meningkatkan tekanan inflasi, Jawatankuasa Dasar Monetari boleh mempertimbangkan pelarasan OPR bagi memastikan pertumbuhan kekal mampan.
Sebaliknya, jika prospek ekonomi dijangka menjadi lebih sederhana, pelarasan OPR boleh membantu mewujudkan keadaan kewangan yang lebih menyokong aktiviti ekonomi.
Kalau OPR berubah, kesannya tidak berlaku dalam sekelip mata. Perubahan tersebut mengambil masa untuk disalurkan melalui kadar pembiayaan dan simpanan bank sebelum mempengaruhi keputusan pengguna dan perniagaan, termasuk dari segi perbelanjaan dan pelaburan.
Kesan perubahan OPR terhadap keseluruhan ekonomi juga lazimnya mengambil masa untuk dirasai sepenuhnya.
Melalui mekanisme inilah dasar monetari membantu mempengaruhi keseluruhan aktiviti ekonomi dan tahap harga, sekali gus menyokong kestabilan harga dalam jangka panjang.
OPR diselaras sebelum ekonomi bermasalah
Shazali menjelaskan bahawa keputusan mengenai OPR tidak dibuat secara spontan, apatah lagi berdasarkan sentimen politik atau tekanan mana-mana pihak.
Sebaliknya, keputusan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Dasar Monetari yang menjalankan tanggungjawabnya secara bebas berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap keadaan ekonomi serta prospeknya.
Jawatankuasa Dasar Monetari bermesyuarat sebanyak enam kali setahun bagi menilai pelbagai petunjuk ekonomi sebelum membuat keputusan sama ada OPR perlu dinaikkan, diturunkan atau dikekalkan.
Malah, keputusan untuk mengekalkan OPR juga merupakan keputusan dasar monetari yang aktif berdasarkan penilaian terhadap keadaan ekonomi semasa dan prospek masa hadapan.
Antara faktor yang diteliti termasuk inflasi, pertumbuhan ekonomi, keadaan pasaran pekerjaan, corak perbelanjaan isi rumah, prestasi perniagaan, keadaan sistem kewangan serta perkembangan ekonomi global seperti harga komoditi, kadar faedah antarabangsa dan pergerakan kadar pertukaran mata wang.
Semua maklumat tersebut dianalisis secara menyeluruh bagi menilai bukan sahaja kedudukan ekonomi semasa, malah prospeknya dalam tempoh antara 12 hingga 18 bulan akan datang.
“OPR bukan bertujuan membebankan rakyat. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada usaha memastikan inflasi kekal terkawal, pertumbuhan ekonomi lebih mampan dan kenaikan harga tidak menjejaskan kuasa beli masyarakat secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu menunjukkan BNM tidak menunggu sehingga ekonomi menghadapi masalah sebelum bertindak.
Sebaliknya, Jawatankuasa Dasar Monetari menilai petunjuk awal serta risiko yang mungkin berlaku pada masa hadapan sebelum membuat keputusan dasar monetari, dengan mengambil kira bahawa perubahan OPR memerlukan masa untuk disalurkan melalui ekonomi.
Rancang kewangan dengan bijak
Bagi orang ramai, OPR mungkin kelihatan sebagai istilah ekonomi yang sukar difahami. Namun, kesannya sebenarnya dekat dengan kehidupan seharian.
OPR merupakan kadar dasar yang menjadi rujukan kepada kos pinjaman antara institusi kewangan, sekali gus mempengaruhi kadar pembiayaan dan simpanan yang ditawarkan oleh bank kepada pengguna.
Apabila OPR berubah dan kesannya disalurkan ke dalam sistem kewangan, ia boleh mempengaruhi kadar pinjaman perumahan, pembiayaan kenderaan, pembiayaan perniagaan, kad kredit serta pulangan bagi sesetengah produk simpanan dan deposit.
Atas sebab itu, perubahan OPR boleh mempengaruhi perancangan kewangan isi rumah, walaupun kesannya tidak semestinya dirasai serta-merta atau dalam kadar yang sama oleh semua peminjam dan penyimpan.
Justeru, orang ramai disaran merancang kewangan secara lebih berhemat dengan mengurus komitmen pinjaman, memperkukuhkan tabungan dan membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat yang sahih, bukannya spekulasi.
Perubahan OPR juga tidak seharusnya dilihat semata-mata daripada sudut sama ada ansuran pinjaman meningkat atau berkurangan.
Sebaliknya, ia perlu difahami sebagai sebahagian daripada usaha BNM menggunakan instrumen dasar monetarinya bagi memastikan inflasi terkawal, sistem kewangan kekal stabil dan ekonomi terus berkembang secara mampan demi manfaat rakyat.
INFO
Kesan OPR kepada ekonomi dan rakyat
APABILA OPR NAIK
- Kos pinjaman cenderung meningkat - Pinjaman berkadar terapung seperti pinjaman rumah boleh menjadi lebih mahal.
- Perbelanjaan dan pelaburan boleh menjadi lebih sederhana - Pengguna dan perniagaan mungkin lebih berhati-hati dalam membuat perbelanjaan dan pelaburan.
- Pulangan sesetengah simpanan boleh meningkat - Produk seperti deposit tetap dan simpanan bank mungkin menawarkan kadar pulangan yang lebih tinggi.
- Tekanan inflasi boleh berkurang - Permintaan yang lebih sederhana boleh membantu mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga.
APABILA OPR TURUN
- Kos pembiayaan cenderung menurun - Kos pembiayaan bagi rumah, kenderaan dan perniagaan boleh menjadi lebih rendah.
- Perbelanjaan dan pelaburan boleh meningkat - Kos pembiayaan yang lebih rendah boleh menggalakkan perbelanjaan, pelaburan dan aktiviti perniagaan.
- Aktiviti ekonomi boleh menjadi lebih rancak - Keadaan kewangan yang lebih menyokong boleh membantu menggalakkan aktiviti ekonomi.
- Tekanan inflasi boleh meningkat - Permintaan yang lebih tinggi boleh meningkatkan tekanan terhadap harga sekiranya pertumbuhan permintaan lebih pantas berbanding perkembangan bekalan.