'Sekali saja kongsi jarum terus kena HIV'

Iklan
Man ketika ditemui semasa lawatan pihak MAF bersama Yayasan Petronas.

KOTA BELUD - Hanya sekali berkongsi jarum ketika mengambil heroin, namun kesilapan itu membawa penyesalan sepanjang hayat apabila seorang lelaki kini hidup dengan Human Immunodeficiency Virus (HIV), selain berhadapan masalah kesihatan mental termasuk skizofrenia.

Lelaki berusia 49 tahun yang dikenali sebagai Man berkata, kehidupannya mula berubah selepas terjebak dengan penyalahgunaan dadah sekitar tahun 2000 akibat pengaruh rakan sehingga menjejaskan pengajiannya ketika itu.

Iklan
Iklan

"Saya terlibat dengan dadah sekitar tahun 2000 kerana pengaruh kawan-kawan. Saya juga gagal ketika melanjutkan pengajian disebabkan terlibat dengan dadah.

Menurutnya, detik paling dikesali berlaku pada 2001 apabila buat pertama kali dia berkongsi jarum ketika mengambil heroin bersama seorang rakan di Selangor sebelum mengetahui rakannya itu meninggal dunia akibat AIDS.

Iklan

"Kawan yang pertama kali saya berkongsi jarum itu meninggal dunia. Kawan-kawan beritahu dia kena AIDS dan tidak dapat rawatan.

"Saya daftar di sebuah pusat pemulihan kerajaan, kemudian minta periksa darah dan apabila diperiksa, saya disahkan positif HIV. Sekali saja saya berkongsi jarum, terus kena," katanya penuh penyesalan.

Iklan

Man berkata, keputusan saringan pada 2003 ketika masih berada di Kuala Lumpur amat mengecewakannya, namun ibunya menjadi individu pertama dimaklumkan mengenai status HIV berkenaan dan terus memberikan sokongan sehingga kini.

"Saya mula makan ubat pada 2006 dan sehingga kini saya tidak pernah terputus ubat. Macam mana pun saya akan usahakan juga, kalau tiada duit saya pinjam daripada adik-beradik.

"Ketagihan itu ada juga. Di sini pun ada pengedar yang bergerak, hubungi mereka saja pun boleh dapat. Tapi saya tahan hati saya supaya jangan ambil lagi. Ibu saya pun melarang," katanya.

Ujian hidupnya tidak berakhir dengan HIV dan sejarah penagihan apabila pada 2018, Man mendakwa mula mengalami skizofrenia sehingga berhalusinasi dan pernah cuba mencederakan diri ketika berada di Semenanjung sebelum kembali ke Sabah pada tahun sama.

"Ketika itu badan saya tinggal tulang saja. Berat hanya 45kg, Alhamdulillah sekarang sudah 70kg, peningkatan sangat ketara.

"Saya mula skizofrenia pada tahun 2018. Sampai sekarang kadang-kadang saya masih dengar suara-suara menyuruh mencederakan diri," katanya.

Kini, Man menjalani kehidupan sederhana bersama ibunya dengan mengusahakan tanaman pisang serta ubi, selain mengajar kanak-kanak mengaji al-Quran dan menjadikan rawatan, sokongan keluarga serta pegangan agama sebagai kekuatan meneruskan kehidupan.

Bagaimanapun, lokasi kediamannya yang jauh dari kemudahan kesihatan menjadi cabaran apabila dia perlu bergantung kepada orang lain dan mengeluarkan perbelanjaan sehingga ratusan ringgit untuk mendapatkan rawatan di Kota Belud atau Kota Kinabalu.

"Kalau tumpang orang ke hospital sini, kena bayar RM60 pergi balik dan ada yang minta lebih RM80. Kalau pergi ke hospital di Kota Kinabalu, termasuk menunggu dan makan pemandu yang ditempah, boleh mencecah RM200 sekali pergi," katanya.

Selain kos rawatan, stigma turut membelenggu kehidupannya sehingga statusnya sebagai Orang yang Hidup dengan HIV (OHDA) dirahsiakan, manakala kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori mental yang dimilikinya sejak 2021 turut menyebabkan dia berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan.

"Harapan saya mahu kerja sendiri. Saya harap satu hari nanti saya dapat kerja juga. Setiap kali mohon kerja, bila saya tunjuk kad OKU, orang tidak mahu terima," katanya.

Bagi ibunya yang kini berusia 70-an, perubahan anaknya memberikan kelegaan selepas melalui tempoh sukar dan kini dia sentiasa memastikan Man mengambil ubat mengikut waktu ditetapkan.

"Saya pastikan dia makan ubat tepat pada waktunya dan sentiasa ingat kepada ALLAH. Saya sudah tidak mahu melihat dia yang dulu seperti mayat hidup, badan hanya tinggal tulang semata," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Malaysian AIDS Foundation (MAF), Dr Zaiton Yahaya berkata, menerusi Program Jangkauan Sabah Health Access Program (SHAPE), bantuan disalurkan bagi meringankan kos pengangkutan pesakit khususnya mereka yang tinggal jauh dari kemudahan kesihatan.

"Di Sabah, keadaan geografi sangat mencabar. Ada pesakit yang perlu pergi jauh untuk bertemu doktor pakar dan kos perjalanan sahaja boleh mencecah lebih RM200.

"Kita mungkin tidak dapat menanggung keseluruhan kos perjalanan mereka, tetapi sekurang-kurangnya bantuan ini dapat mengurangkan beban pesakit untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, bantuan berkenaan diberikan berdasarkan jarak perjalanan penerima, manakala lawatan ke empat kediaman pesakit pada Khamis turut memberi peluang kepada penyumbang melihat sendiri cabaran dihadapi pesakit serta impak bantuan yang disalurkan.

"Setakat ini di Sabah, kita mendapat bantuan daripada Yayasan Petronas dan Sunway. Kita mahu mereka melihat sendiri apa yang telah dilakukan melalui sumbangan berkenaan dan berharap bantuan ini dapat diteruskan," katanya.

Hadir sama ialah Pengarah Eksekutif Malaysian AIDS Foundation dan Malaysian AIDS Council, Jasmin Jalil; Ketua Bahagian Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti Yayasan Petronas, Roszaidah Husman @ Othman, serta Pengurus Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti Yayasan Petronas, Dr Faizal Ibrahim.