Banjir Nepal: 17 Rakyat Malaysia laksana upacara keagamaan di Gunung Kailash tidak dapat dihubungi

Iklan
Arus deras air berlumpur mengalir melalui sebatang sungai selepas kejadian banjir kilat di Nepal. Foto AFP

KUALA LUMPUR - Seramai 17 rakyat Malaysia yang menuju ke Gunung Kailash di Tibet, China bagi melaksanakan upacara keagamaan masih gagal dihubungi dalam tempoh lebih 24 jam ekoran bencana banjir berhampiran sempadan Nepal-Tibet semalam, sekali gus menambah kebimbangan kalangan keluarga mereka.

R. Logadashini berkata, empat ahli keluarganya iaitu bapa, S. Raman, 59; ibu, M. Neelavany, 54; bapa saudara, S. Murukan, 60; dan ibu saudara, G. Padmahwathi, 58, antara 17 rakyat Malaysia dalam kumpulan itu yang diuruskan oleh agensi pelancongan Fishtail Tours & Travels yang berpangkalan di Nepal.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kumpulan itu tiba di Nepal pada 23 Ogos dan dijadual meneruskan perjalanan keagamaan sehingga 5 September ini.

"Selepas itu, semua hubungan dengan kumpulan itu terputus. Kami cuba menghubungi agensi pelancongan tersebut dan Kedutaan Malaysia tetapi setakat ini, kami masih belum menerima sebarang maklumat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Iklan

BERITA BERKAITAN: Banjir Nepal: Angka kematian meningkat 160 orang, lebih 680 masih hilang

Banjir Nepal: Lebih 50 rakyat Malaysia gagal dihubungi

Iklan

95 maut, 484 hilang susulan banjir di utara Nepal

17 rakyat Malaysia antara ratusan hilang susulan banjir kilat di Nepal

Lebih 380 pelancong termasuk 291 warga asing hilang selepas banjir di Nepal

11 rakyat Malaysia tidak dapat dihubungi susulan banjir di Nepal - Wisma Putra

Beliau berkata, mesej terakhir menerusi aplikasi WhatsApp daripada keluarganya diterima kira-kira pada 8.40 pagi waktu Malaysia semalam.

Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan, sebanyak 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu masih belum dapat dihubungi dan pihaknya tidak menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai rakyat Malaysia yang terjejas setakat ini.

Sebuah rumah kelihatan separuh tenggelam dalam air berlumpur selepas kejadian banjir kilat di Trishuli Bazar, daerah Nuwakot, Nepal. Foto AFP

Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, agensi pelancongan, pihak berkaitan yang lain bagi memastikan keselamatan serta mengesan keberadaan rakyat Malaysia terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengarahkan semua jabatan berkaitan supaya segera mengenal pasti dan menghubungi rakyat Malaysia yang terjejas, dengan misi diplomatik Malaysia di Kathmandu serta New Delhi digerakkan untuk membantu usaha itu.

Banjir kilat melanda beberapa kawasan di daerah Rasuwa dan Nuwakot di Nepal berpunca daripada hujan lebat serta runtuhan glasier di sepanjang laluan Sungai Bhote Koshi.

Bencana itu menyebabkan gangguan komunikasi manakala laluan utama yang menghubungkan kawasan terjejas dengan ibu negara, Kathmandu, juga terputus.

Keadaan sedemikian menyukarkan usaha menyelamat serta akses kepada mereka yang terjejas.

Laluan tersebut lazimnya digunakan oleh mereka yang melakukan perjalanan keagamaan di Gunung Kailash dan kalangan pendaki yang menuju ke kawasan Everest.

Sementara itu, satu lagi kumpulan yang diketuai pendaki Everest Malaysia, Datuk N. Mohanadas disahkan selamat di Tibet.

Mohanadas berkata, kumpulannya yang terdiri daripada 56 orang, termasuk 39 rakyat Malaysia, empat rakyat Singapura dan tiga warga Kanada, tidak terjejas dan meneruskan perjalanan ibadah dengan selamat.

"Kami menyedari kejadian hujan lebat secara tiba-tiba, banjir kilat dan kalangan yang terjejas di sempadan Nepal-Tibet. Syukur, kumpulan kami dan laluan yang kami ambil tidak terjejas dan kami meneruskan perjalanan dengan selamat.

"Kami telah memulakan hari pertama daripada tiga hari perjalanan rohani di Gunung Kailash untuk melakukan kora (sirkumambulasi) Kailash,” katanya.- Bernama