Malaysia #QuranHour 2026 himpun 500 peserta Rumah Ngaji Perak

Iklan
Program Malaysia #QuranHour peringkat negeri Perak yang berlangsung di Masjid Al Hidayah, RPT Pengkalan Pegoh Seberang, Lahat pada Khamis berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta daripada seluruh jaringan Rumah Ngaji di Perak. Gambar kecil: Abd Rashid

IPOH – Program Malaysia #QuranHour peringkat negeri Perak yang berlangsung di Masjid Al Hidayah, RPT Pengkalan Pegoh Seberang, Lahat pada Khamis berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta daripada seluruh jaringan Rumah Ngaji di negeri ini.

Program anjuran bersama Rumah Ngaji Perak dan Rumah Ngaji Masjid Al Hidayah itu menampilkan pengisian tadabbur al-Quran yang disampaikan Pensyarah Kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Mohd Shafiq Sahimi.

Iklan
Iklan

Selain itu, bacaan al-Quran dipimpin pendakwah kelahiran Palestin, Sheikh Muhammad Wael yang membawa peserta menghayati Surah al-Muzzammil, al-Balad dan al-Baqarah.

Pengerusi Masjid Al Hidayah, Datuk Abd Rashid Abd Wahid berkata, penganjuran program seumpama itu memberi impak positif dalam usaha mengimarahkan institusi masjid dan surau.

Iklan

Menurutnya, program Malaysia #QuranHour berjaya menarik penyertaan ahli kariah untuk lebih mendekati al-Quran bukan sekadar membaca, malah memahami, mentadabbur serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

"Objektif kita jelas iaitu menggalakkan masyarakat, khususnya ahli Rumah Ngaji supaya benar-benar menghayati al-Quran. Program seperti ini terbukti mampu menyatukan komuniti," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Hadir sama dalam program itu, Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatun Hadayiah Harun.

Abd Rashid berkata, Rumah Ngaji di Masjid Al Hidayah telah diwujudkan kira-kira lima tahun lalu dan kini semakin aktif menganjurkan pelbagai program berteraskan al-Quran.

Katanya, penglibatan sekitar 200 peserta dalam aktiviti Rumah Ngaji di kawasan kariah itu juga amat memberangsangkan dan menjadi pemangkin kepada kejayaan program.

"Golongan wanita antara yang paling aktif. Mereka sentiasa menganjurkan program termasuk Quran Hour dan sambutan hari ini menunjukkan sambutan sangat menggalakkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak masjid amat mengalu-alukan lebih banyak program seumpama Malaysia #QuranHour diadakan pada masa akan datang.

"Kita sentiasa menyokong usaha murni ini agar lebih ramai masyarakat dapat mendekati al-Quran dan seterusnya mengamalkan ajarannya dalam kehidupan," katanya.

Masjid Al Hidayah yang mula digunakan pada 2012 meliputi kariah 21 taman perumahan dengan anggaran penduduk sekitar 8,000 orang.