Darul Ulum Al Mahfuz mahu bina rumah ilmu anak yatim, asnaf

Iklan
Pelajar yang mempelajari al-Quran di DUAM memerlukan tempat lebih selesa. Foto: DUAM

CHEMOR - Sebuah kompleks tahfiz baharu yang dirancang Darul Ulum Al Mahfuz (DUAM) di atas tanah wakaf di Taman Klebang Putra, di sini bakal memberi ruang lebih selesa kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Pengerusi DUAM, Muhammad Adam Azhari berkata, perancangan itu antara usaha DUAM menyediakan persekitaran pendidikan dan kebajikan yang lebih tersusun untuk pelajar selain memberi peluang kepada lebih ramai anak yatim dan asnaf mendapatkan pendidikan al-Quran.

Iklan
Iklan

Katanya, pelajar di DUAM bukan sahaja mengikuti pembelajaran membaca dan menghafaz al-Quran, malah turut disediakan keperluan asas termasuk makanan, tempat tinggal, bimbingan agama dan penjagaan harian.

“DUAM bagi sebahagian pelajar bukan sekadar tempat belajar, tetapi sudah menjadi rumah, tempat mereka berlindung dan membina harapan untuk masa depan yang lebih baik.

Iklan

“Mereka datang dengan latar kehidupan yang berbeza, namun mempunyai impian yang sama iaitu mahu belajar, menghafaz al-Quran dan menjadi insan yang berguna kepada agama serta masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Adam berkata, kelangsungan operasi DUAM memerlukan perbelanjaan kira-kira RM20,000 sebulan yang meliputi keperluan makanan, pendidikan, penginapan, kebajikan, tenaga pengajar, utiliti, pengangkutan dan keperluan harian pelajar.

Iklan

Katanya, keperluan tersebut turut merangkumi aspek kesihatan, penyelenggaraan premis serta aktiviti tarbiah dan pembangunan sahsiah.

“Cabaran kami bukan sekadar memastikan keperluan harian pelajar mencukupi, tetapi bagaimana menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan tersusun supaya mereka dapat belajar serta membesar dengan baik.

“Sebab itu, kami melihat pembangunan sebuah kompleks baharu sebagai satu keperluan untuk jangka panjang,” katanya.

Menurutnya, DUAM merancang memulakan pembangunan kompleks baharu pada tahun 2027 di atas tanah yang telah diwakafkan.

Kompleks yang dirancang mampu menempatkan sehingga 30 pelajar, khususnya dalam kalangan anak yatim dan asnaf.

“Bangunan baharu itu bukan hanya menyediakan ruang asrama, tetapi satu persekitaran lengkap untuk pendidikan dan kehidupan pelajar.

“Antara kemudahan yang dirancang termasuk asrama, bilik pembelajaran al-Quran, kediaman ustaz, surau, dewan serbaguna, dapur, dewan makan dan ruang rawatan,” katanya.

Muhammad Adam berkata, aspek keselamatan dan keselesaan turut diberi perhatian menerusi perancangan kemudahan seperti sistem CCTV, pendawaian elektrik, kemudahan pembelajaran, sistem kumbahan serta pagar keselamatan.

Jelasnya, pembangunan berkenaan diharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada premis sedia ada yang terhad, selain membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak yatim dan asnaf mendapatkan pendidikan dalam suasana yang sesuai.

Bagi yang ingin menyumbang boleh salurkan ke akaun Darul Ulum Al Mahfuz, Maybank 5584 3512 8088 atau menghubungi Muhammad Adam di talian 017-539 0674.