GEORGE TOWN - Seorang tertuduh warga emas diserang sawan ketika prosiding mahkamah berhenti seketika sebelum diberikan ubat oleh anggota polis yang bertugas di Mahkamah Sesyen 2, di sini pada Khamis.
Tertuduh yang menghadapi pertuduhan mencederakan seorang lelaki itu kemudiannya berjaya ditenangkan selepas menerima ubat yang dibawa oleh tertuduh sendiri.
Selepas beberapa minit kemudian, keadaan tertuduh kembali tenang dan mampu bercakap semula.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Ooi Hock Wah, 62 didakwa melakukan kesalahan berkaitan kecederaan menggunakan sebilah senjata atau objek besi sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang lelaki.
Berdasarkan pertuduhan, kejadian didakwa berlaku pada 23 Ogos 2026 kira-kira jam 9.30 pagi di hadapan sebuah rumah beralamat di Jalan Perak, di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam dialek Hokkien terhadapnya di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jung Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Jung Keong tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan mengemukakan beberapa alasan untuk pertimbangan mahkamah.
"Saya tidak menawarkan sebarang jaminan selepas mengambil kira keadaan mangsa yang kini sedang dirawat di hospital dengan patah kedua-dua belah kaki serta tangan. Mangsa juga dilaporkan belum stabil.
"Selain itu, tertuduh merupakan jiran dan tinggal di sebelah rumah mangsa. Oleh demikian, jaminan dan pembebasan tertuduh akan memberi risiko terhadap mangsa selain mangsa juga sudah mengaku bersalah," katanya.
Irwan kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh berdasarkan hujah-hujah yang diberikan.
Kes ditangguh sehingga 1 Oktober untuk fakta hukuman dan laporan perubatan penuh.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki warga emas cedera parah selepas dipukul jirannya menggunakan batang besi dalam kejadian di Jalan Perak di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa berusia 80 tahun berada di hadapan rumahnya.
Akibat daripada kejadian itu, mangsa yang juga warga tempatan mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki dan kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Abdul Rozak menambah, polis kemudiannya berjaya menahan suspek dan merampas batang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut di rumahnya.
Tambahnya, punca kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.