JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mencuri perhatian apabila mengenakan tali leher Maktab Sultan Abu Bakar ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, pada Khamis.
Maszlee yang juga bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam kembali ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas memenangi kerusi Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.
Beliau berjaya merampas kerusi berkenaan untuk Pakatan Harapan (PH) dalam pertandingan lima penjuru dengan memperoleh 41,821 undi.
Kemenangan itu menyaksikan Maszlee menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling yang memperoleh 36,077 undi, sekali gus mencatatkan majoriti sebanyak 5,744 undi.
Turut bertanding ialah Sharifah Rashifa Syed Abdul Rashid Aljunied daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang memperoleh 5,887 undi, Nicholas Paul Vincent daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dengan 2,332 undi serta calon Bebas, Wang Wee Siong yang mendapat 227 undi.
Kerusi DUN Puteri Wangsa sebelum ini disandang oleh Amira Aisya Abd Aziz daripada MUDA, yang tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.
Sebelum itu, kesemua 56 ADUN Johor mengangkat sumpah jawatan di depan Speaker DUN Johor, Datuk Zahari Sarip pada persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan mandat mentadbir Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN pada PRN ke-16, manakala Pakatan Harapan (PH) pula meraih kemenangan di lapan kerusi.
Enam kerusi menerusi DAP di Skudai, Mengkibol, Bentayan, Senai, Penggaram dan Stulang manakala Amanah memenangi DUN Simpang Jeram dan PKR di DUN Puteri Wangsa.
Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) yang lebih dikenali sebagai English College (EC), merupakan antara institusi pendidikan berprestij dan bersejarah di Johor Bahru.
Ditubuhkan pada 1914, sekolah itu terkenal kerana melahirkan ramai tokoh yang mencorakkan kepimpinan negara dan negeri.
Antara tokoh terkenal yang pernah mendapat pendidikan di Maktab Sultan Abu Bakar ialah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam serta bekas Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.
Maszlee yang juga bekas pelajar Maktab Sultan Abu Bakar turut berkongsi gambar dan mengenai pemakaian tali leher berkenaan menerusi hantaran di Facebooknya.
Hantaran itu turut disertakan tanda pagar #DUNPuteriWangsa, #dunjohor dan #maktabsultanabubakar#.