KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Datuk Dollah Salleh mengakui krisis pemain yang melanda pasukannya ketika ini adalah pengalaman pertama sepanjang kira-kira 23 tahun kariernya dalam bola sepak.
KL City turun menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Super 2026/2027 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu dengan hanya 10 pemain dan seorang pemain simpanan sebelum tewas 0-6.
Situasi itu berlaku susulan masalah pendaftaran pemain selain 13 pemain dan dua pegawai pasukan dilaporkan dijangkiti influenza.
“Ini tidak pernah berlaku sepanjang hidup saya. Inilah kali pertama saya melalui situasi seperti ini. Sejak beberapa hari lepas, saya asyik memikirkan perkara ini hingga orang di sekeliling pun nampak saya tidak senang duduk,” kata Dollah.
Menurutnya, keputusan perlawanan itu sememangnya sudah dijangka berdasarkan keadaan pasukannya, namun pemain tetap memberikan aksi terbaik pada babak pertama.
“Keputusan ini sebenarnya sudah dijangka berdasarkan apa yang berlaku kepada KL City. Pada separuh masa pertama, kami bermain dengan 10 orang, tetapi pemain telah memberikan yang maksimum,” katanya.
Dollah berkata, keadaan menjadi lebih sukar selepas kedua-dua pasukan beraksi 10 lawan 10 susulan kapten Kuching City, James Okwuosa, dilayangkan kad merah pada minit ke-44 kerana pemainnya sudah keletihan selepas bekerja keras pada separuh masa pertama.
“Ketiadaan pilihan di bangku simpanan memaksa kami lebih banyak bertahan bagi mengelakkan kekalahan lebih besar. Saya kasihan kepada pemain kerana mereka sudah memberikan yang terbaik. Dalam keadaan sebegitu, saya tidak boleh terlalu menegur mereka.
“Kami hanya memberikan semangat supaya terus bertahan dan tidak dibolosi lebih banyak gol,” katanya.
Beliau menambah, KL City tiada pilihan selain meneruskan perlawanan kerana kegagalan turun beraksi boleh membawa implikasi lebih besar terhadap kelab, termasuk kedudukan mereka dalam Liga Super.
Sebelum ini, aksi pembukaan KL City menentang Negeri Sembilan FC turut tidak dapat dilangsungkan selepas mereka gagal menyediakan pasukan berikutan isu pendaftaran pemain.
MFL kemudian memberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata kepada Negeri Sembilan selain mengenakan denda RM50,000 terhadap KL City.