Ismail Sabri didakwa tidak isytihar RM14.7 juta, jutaan mata wang asing, 5 jongkong emas

Iklan
Ismail Sabri (depan, tengah) tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis. Foto: ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas satu pertuduhan tidak mengisytiharkan harta iaitu wang tunai RM14.7 juta, jutaan mata wang asing serta lima jongkong emas, tahun lepas.

Pemimpin UMNO berusia 66 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Iklan
Iklan

"Saya faham, mengaku tidak bersalah, mohon dibicarakan," katanya yang memakai kot berwarna hitam ketika berdiri dalam kandang tertuduh.

Ismail Sabri kelihatan tenang sambil disaksikan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, tiga anak mereka termasuk penyanyi Dafi bersama penyokong-penyokongnya.

Iklan

Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa sengaja memberikan pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 7 Januari 2025.

Ia membabitkan kesalahan tidak mengisytiharkan harta di Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya pada 7 Februari 2025.

Iklan

Harta itu melibatkan wang tunai RM14,772,150, SG$632,350, US$1,461,400, CHF3 juta, EUR12,164,150, JPY363 juta, GBP50,250, NZ$44,600, AE$34.75 juta dan AUD352,850.

Ia termasuk lima jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat satu kilogram setiap satu selain satu jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan satu syiling emas 999 Fine Gold seberat lima gram.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda maksimum RM100,000.

Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi merakamkan percakapan berhubung pengisytiharan harta yang dibuat kepada SPRM.

Dalam siasatan berkenaan, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing selain menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta.

Rampasan itu dilakukan ketika penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’, susulan siasatan terhadap empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.

MENYUSUL