MINGGU depan bermula cuti persekolahan. Pastinya ramai ibu bapa sudah mempunyai perancangan untuk mengisi masa lapang anak-anak, sama ada bercuti ke pusat peranginan, pantai, sungai, air terjun ataupun taman tema.
Namun, di sebalik keterujaan menikmati waktu bersama keluarga, aspek keselamatan tidak boleh sesekali dipandang ringan.
Insiden kemalangan roller coaster di sebuah taman tema baru-baru ini yang mengakibatkan 10 individu cedera pastinya menimbulkan kegusaran, lebih-lebih lagi menjelang musim cuti sekolah.
Namun persoalannya, sejauh mana keselamatan setiap permainan yang disediakan kepada pengunjung benar-benar terjamin?
Peralatan yang digunakan berulang kali, khususnya permainan ekstrem, sememangnya memerlukan pemeriksaan dan penyelenggaraan yang teliti. Usia sesuatu peralatan juga tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan tahap keselamatannya.
Pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan bukan sahaja di taman tema, tetapi juga di pusat-pusat permainan yang menawarkan aktiviti ekstrem.
Pemeriksaan berkala perlu dilakukan bagi memastikan setiap peralatan mematuhi piawaian keselamatan dan berada dalam keadaan baik sebelum dibenarkan digunakan.
Lebih penting, setiap kelemahan yang dikenal pasti perlu segera diperbaiki dan tidak boleh dibiarkan sehingga mengundang kejadian yang lebih buruk.
Pengusaha pula tidak boleh hanya memikirkan keuntungan sehingga aspek keselamatan pengunjung diketepikan.
Setiap permainan yang disediakan membawa bersama tanggungjawab besar kerana nyawa manusia menjadi taruhan.
Dalam masa sama, pengunjung juga perlu mematuhi segala arahan keselamatan dan tidak mengambil mudah peraturan yang ditetapkan.
Tempat hiburan sepatutnya menjadi ruang untuk keluarga berseronok dan mencipta kenangan, bukannya lokasi untuk mempertaruhkan nyawa.
Jangan tunggu sehingga tragedi lebih buruk berlaku barulah tindakan diambil. Keselamatan mesti menjadi keutamaan, bukan sekadar slogan apabila kemalangan sudah berlaku.