KEPUTUSAN Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen untuk memulakan prosiding berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) bukan sekadar langkah susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), malah menjadi ujian penting terhadap tahap akauntabiliti pengurusan institusi kewangan Islam itu.
Yang menarik, PAC menegaskan prosiding berkenaan tidak bertujuan mengulangi siasatan RCI, sebaliknya meneliti sejauh mana syor yang dikemukakan telah dilaksanakan.
Pendekatan itu wajar kerana persoalan utama kini bukan lagi semata-mata apa yang berlaku antara 2014 hingga 2020, tetapi apa yang telah dilakukan selepas kelemahan dikenal pasti.
Perkara itu juga penting kerana TH bukan institusi biasa, ia mengurus dana dan kepentingan jutaan pendeposit yang bergantung kepada keupayaan institusi berkenaan memastikan simpanan mereka diurus secara berhemah, telus dan berintegriti.
Sebarang kelemahan tadbir urus berpotensi menjejaskan bukan sahaja kedudukan kewangan, malah keyakinan masyarakat terhadap institusi tersebut.
Pada masa sama, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, selepas penahanan bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, memberikan dimensi baharu kepada perkembangan ini.
Bagaimanapun, penahanan bagi membantu siasatan tidak wajar ditafsirkan sebagai bukti seseorang telah melakukan kesalahan sehingga proses undang-undang selesai.
Apa yang lebih penting kini ialah memastikan siasatan dilaksanakan secara profesional, bebas dan berasaskan bukti.
PAC pula perlu memastikan prosidingnya menghasilkan jawapan yang jelas mengenai pelaksanaan syor RCI, kelemahan yang masih berlarutan serta pihak yang bertanggungjawab memperbaikinya.
Kesimpulannya, isu TH bukan sekadar soal mencari siapa yang bersalah, tetapi bagaimana memastikan kepercayaan pendeposit dipulihkan dan kelemahan sama tidak berulang.