KUCHING City FC memanfaatkan kekurangan pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk mencatat kemenangan besar 6-0 pada aksi Liga Super 2026-2027 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini malam ini.
KL City kendalian Datuk Dollah Salleh memulakan perlawanan dengan hanya 10 pemain serta seorang pemain simpanan susulan masalah kesihatan yang membabitkan 13 pemain dan dua pegawai pasukan yang dilaporkan dijangkiti influenza.
Penyerang Ajdin Mujagic membuka jaringan pasukan pelawat kendalian Aidil Sharin Sahak pada minit keempat sebelum gandingannya Jerome Etame menggandakan kedudukan pada minit ke-25.
Kedua-dua pasukan kemudian beraksi dengan 10 pemain selepas kapten Kuching City, James Okwuosa dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Sharvin Selvakumaran pada minit ke-44.
Etame melengkapkan hatrik menerusi jaringan pada minit ke-48 dan ke-52, manakala Mujagic menjaringkan gol keduanya pada minit ke-59 sebelum Etame meledak gol keempat peribadi pada masa tambahan babak kedua untuk mengesahkan kemenangan sulung Kuching City musim ini.
Mengikut Law of the Game 2026/27 yang ditetapkan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) dan diguna pakai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sesebuah pasukan mesti mempunyai sekurang-kurangnya tujuh pemain di atas padang untuk memulakan atau meneruskan perlawanan.
Sementara itu, di Iskandar Puteri, juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Kelantan Red Warrior FC 9-0 di Stadium Sultan Ibrahim dengan Shahab Zahedi muncul wira menerusi empat jaringan.
Penyerang kelahiran Iran itu membuka tirai seawal minit kedua sebelum menggandakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-37, manakala gol sendiri pemain pertahanan pasukan pelawat, Muhammad Mohd Faudzi, pada masa tambahan babak pertama meletakkan JDT selesa 3-0.
Jairo da Silva menambah gol keempat pada minit ke-49, disusuli dua lagi jaringan Shahab pada minit ke-50 dan ke-62 untuk melengkapkan koleksi empat gol peribadinya.
Matias Nahuel, Eddy Israfilov dan Arif Aiman Mohd Hanapi kemudian menjaringkan gol masing-masing pada minit ke-78, ke-81 dan ke-90 untuk melengkapkan kemenangan besar Harimau Selatan di hadapan penyokong sendiri. - Bernama