KEKECEWAAN di Silverstone dijadikan pembakar semangat pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli untuk melakar kebangkitan pada Grand Prix (GP) Aragon, hujung minggu ini.
Pelumba berusia 19 tahun itu terpaksa menamatkan saingan GP Britain lebih awal selepas terjatuh akibat dilanggar pelumba lain, sekali gus terlepas peluang untuk menambah koleksi mata kejuaraan.
Namun, insiden tersebut tidak melemahkan semangat Hakim Danish, sebaliknya mendorongnya memperkemas persiapan dengan meningkatkan intensiti latihan dan melakukan beberapa penambahbaikan selepas perlumbaan di Silverstone.
Aragon pula bukan sekadar pusingan seterusnya buat pelumba kelahiran Terengganu itu, malah menyimpan memori manis apabila pernah muncul juara Perlumbaan 2 Pusingan Ketiga Red Bull MotoGP Rookies Cup di litar berkenaan pada 2025.
Ketika itu, Hakim Danish bermula dari petak ketujuh sebelum melakukan kebangkitan dramatik dan memintas pesaing di beberapa selekoh terakhir untuk meraih kemenangan.
Pengalaman tersebut menjadi suntikan keyakinan buat Hakim Danish yang mahu menggunakan kelebihan mengenali litar berkenaan mengutip mata selepas nasib tidak menyebelahinya di Silverstone.
“Saya membuat kajian semula terhadap kelemahan selepas GP Britain dan melakukan beberapa penambahbaikan dalam latihan.
“Saya juga mengkaji perlumbaan Red Bull Rookies di Aragon sebagai persediaan. Saya sudah berlatih dengan lebih keras dan bersedia memberikan yang terbaik.
“Saya datang dengan keyakinan dan bersedia untuk bersaing. Saya tahu kedudukan sekarang dan masih banyak mata yang boleh dikutip.
“Saya juga pernah menang di Aragon sebelum ini dan pengalaman itu pastinya memberikan keyakinan tambahan kepada saya,” katanya.
Selepas 12 pusingan, Hakim Danish berada di tangga kelapan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan 86 mata, hanya 11 mata di belakang Veda Pratama dari Indonesia yang menghuni tempat kedua dengan 97 mata.
Brian Uriarte pula menerajui kejuaraan dengan 127 mata, manakala Hakim Danish turut menduduki tempat ketiga dalam saingan Rookie of the Year.
“Saya mahu gunakan pengalaman tersebut, selain segala persiapan yang sudah dilakukan, untuk kembali lebih kuat di Aragon.
“Saya akan memberikan yang terbaik dan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya.