AUKU: Beri kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa - Anwar

Iklan
Anwar ketika menjadi moderator Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 13 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Ruang kebebasan mahasiswa perlu diberikan sepenuhnya tanpa perlu menunggu pemansuhan rasmi Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu membolehkan pelajar membentuk pemikiran kritis, segar dan berani menyuarakan pandangan tanpa terlalu dibelenggu peraturan serta kekangan birokrasi.

Iklan
Iklan

“Ruang kebebasan mahasiswa harus diberikan sepenuhnya tanpa syarat dan halangan kegiatan, sama ada kita bersetuju atau tidak dengan pandangan mereka.

“Kita boleh berbahas dan menuntut mereka mempertahankan pandangan, tetapi ruang itu mesti dijadikan medan untuk pemikiran kritis dan segar,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjadi moderator pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 13 bertajuk Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Universiti Malaya di sini pada Rabu.

Forum itu turut menampilkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim selaku panel.

Iklan

Anwar berkata, perubahan dalam sistem pendidikan bukan sekadar memerlukan idea baharu, sebaliknya turut menuntut kesediaan pemimpin, pengurusan institusi dan warga akademik untuk menerima anjakan paradigma.

Menurut beliau, terdapat perubahan yang sebelum ini dianggap sukar atau mengambil masa untuk dilaksanakan kerana terikat dengan peraturan, namun sebahagian universiti sudah menunjukkan kesediaan untuk menerima dan melaksanakannya dengan lebih pantas.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Tambun itu turut menegaskan bahawa kebebasan yang diberikan perlu disertai tanggungjawab.

“Bebas bukan bermakna boleh buat apa sahaja. Mereka boleh bersuara dan memberikan pandangan, tetapi tidak boleh merosakkan harta benda atau tidak boleh mengganggu ketenteraman.

“Kalau ada kesalahan yang melibatkan jenayah, perkara itu perlu ditangani mengikut undang-undang,” katanya.

Anwar berkata, universiti perlu berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan kecemerlangan ilmu yang memberikan ruang lebih luas kepada penyelidikan, inovasi serta kebebasan akademik.

“Universiti itu ialah pusat pembelajaran dan pusat kecemerlangan. Fokus kepada penyelidikan dan kebebasan mesti ada.

“Perubahan itu perlu, tetapi mesti digerakkan dengan baik dan tidak semestinya kerajaan menentukan segala-galanya,” katanya.