KUALA LUMPUR - Dua individu, masing-masing seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan wanita tempatan berusia 43 tahun, ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta di kawasan tempat letak kenderaan awam berhadapan Super Seven, Vista Valley, di Semenyih, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan pada 3.54 petang mengenai penemuan kedua-dua mangsa di tempat duduk hadapan sebuah kereta jenis Hyundai Atos berwarna hijau.
"Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada kesan umpilan pada kenderaan berkenaan, selain tiada kecederaan atau tanda-tanda jelas yang menunjukkan unsur jenayah pada kedua-dua mangsa.
"Siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa merupakan kenalan dan telah dilaporkan tidak dapat dihubungi serta tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lepas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muaz Mazlan di talian 017-9788804 bagi membantu siasatan. - Bernama