2.2 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya PLUS

Iklan
Kesesakan trafik dijangka meningkat bagi tempoh 28 Ogos hingga 31 Ogos serta 4 September hingga 7 September berikutan ramai pengguna mengambil peluang memanfaatkan cuti umum dan cuti sekolah untuk membuat perjalanan. Foto fail Bernama

PETALING JAYA - Sekitar 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada hari-hari puncak sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan yang bakal tiba.

PLUS dalam kenyataan memaklumkan, kesesakan trafik dijangka meningkat bagi tempoh 28 Ogos hingga 31 Ogos serta 4 September hingga 7 September berikutan ramai pengguna mengambil peluang memanfaatkan cuti umum dan cuti sekolah untuk membuat perjalanan.

Iklan
Iklan

"Bagi melancarkan pergerakan, PLUS menggalakkan pengguna merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual digital MyPLUS-TTA (Travel Time Advisory) menerusi Aplikasi PLUS.

"Pematuhan kepada jadual yang disusun berdasarkan pola trafik terdahulu itu mampu membantu mengagihkan trafik dan mengurangkan tumpuan kenderaan pada waktu puncak," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Iklan

Aplikasi PLUS turut menawarkan maklumat trafik masa nyata, bantuan kecemasan (SOS), maklumat insiden, anggaran kadar tol, lokasi Kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) serta maklumat perkhidmatan lebuh raya lain.

Sebagai persediaan menghadapi peningkatan kenderaan, PLUS akan menambah petugas di plaza tol dan R&R, meningkatkan rondaan PLUSRonda serta memantau trafik secara berterusan melalui Pusat Pemantauan Trafik (Traffic Monitoring Centre).

Iklan

Selain itu, Smart Lane akan diaktifkan di 33 lokasi terpilih bagi mengurangkan kesesakan.

Pengguna dinasihatkan peka dengan papan tanda Smart Lane, mengurangkan kelajuan ketika melewatinya serta dilarang menggunakan laluan kecemasan di luar lokasi pengaktifan bagi mengelakkan tindakan undang-undang

PLUS turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan agensi berkaitan bagi memastikan sebarang insiden dapat ditangani dengan pantas.

Dari segi kemudahan, PLUS meningkatkan penyelenggaraan kemudahan awam di R&R serta hentian sebelah dengan mengutamakan aspek kebersihan dan keselesaan, termasuk penambahbaikan surau dan tandas.

Sebelum memulakan perjalanan, pengguna diingatkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta baki kad Touch ’n Go atau eWallet (RFID) mencukupi, di samping pautan kad pembayaran aplikasi JustGO kekal aktif.

"Sekiranya berlaku masalah transaksi, pengguna boleh menekan butang interkom di lorong tol untuk bantuan.

"Pengguna juga digesa mematuhi had laju, mengekalkan jarak pemanduan selamat, berhemah, mengelakkan penggunaan telefon bimbit serta berehat di R&R jika memandu jarak jauh," kata kenyataan itu.

Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000 atau menyemak maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi PLUS dan platform media sosial rasmi PLUS.