Jawapan 'tiada komen' sebanyak 15 kali, peguam mohon mahkamah perintah bekas CEO 1MDB jawab soalan

Iklan
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berulang kali enggan memberikan komen ketika disoal peguam yang mewakili defendan dalam saman sivil berjumlah AS$5.64 bilion. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berulang kali enggan memberikan komen ketika disoal peguam yang mewakili defendan dalam saman sivil berjumlah AS$5.64 bilion.

Peguam Kanan GK Ganesan, yang mewakili bekas pengarah pelaburan 1MDB, Kelvin Tan Kay Jin, defendan ketujuh dalam saman itu, meminta mahkamah memerintahkan lelaki berusia 56 tahun berkenaan, yang memberikan keterangan sebagai saksi plaintif keempat, supaya menjawab soalan yang dikemukakan, dengan alasan beliau tidak boleh berulang kali menjawab"no comment” (tiada komen) ketika pemeriksaan balas.

Iklan
Iklan

Ganesan membangkitkan perkara itu selepas Shahrol Azral memberikan jawapan"tiada komen” ketika Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, menyoalnya berhubung penerbitan bon bernilai RM5 bilion oleh Terengganu Investment Authority Bhd (TIA), yang didakwa Shahrol Azral dilakukan atas arahan Najib.

"Yang Arif, mungkin ini kali ke-15 saksi ini berkata ‘tiada komen’. Saksi ini dibawa ke mahkamah untuk memberikan komen. Beliau telah menyatakan perkara yang bertentangan dengan kepentingan defendan.

Iklan

"Apabila soalan yang dikemukakan bertentangan dengan kepentingan plaintif, beliau berkata ‘tiada komen’.

Beliau berkata, di bawah Seksyen 132 Akta Keterangan 1950, Yang Arif, seorang saksi perlu menjawab soalan berkenaan dan boleh mengatakan ‘Saya tidak bersetuju’.

Iklan

Ganesan turut merujuk Seksyen 146 Akta Keterangan 1950, yang memperuntukkan soalan boleh dikemukakan kepada seseorang saksi bagi menguji ketepatan, kebenaran atau kredibilitinya, atau menggugat kebolehpercayaan.

"Yang Arif, isunya sekarang sebagai defendan kami terpaksa mendengar keterangan seorang saksi yang berulang kali menyebut ‘Saya tiada komen’, dan jawapan-jawapan ini langsung tidak membantu dalam usaha merungkai kebenaran mengenai perkara ini.

"Beliau turut merujuk Seksyen 148(2)(c), yang membolehkan mahkamah, jika difikirkan wajar, menganggap bahawa keengganan saksi menjawab menunjukkan jawapan yang sepatutnya diberikan mungkin tidak memihak kepadanya.”

"Saya dengan penuh hormat memohon Yang Arif mengarahkan saksi menjawab soalan itu?” katanya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus.

Permohonan berkenaan disokong Muhammad Shafee, yang mewakili Najib, defendan pertama dalam saman berkenaan.

Mohamad Redzuan berkata mahkamah akan membuat inferens yang sewajarnya sekiranya seseorang saksi enggan menjawab soalan selepas diarahkan berbuat demikian.

Pesuruhjaya Kehakiman itu turut menyuarakan kebimbangan kerana perkara berkenaan peguam yang sebelum ini menjalankan pemeriksaan balas terhadap Shahrol Azral tidak membawa perkara itu kepada perhatian mahkamah lebih awal.

"Apa yang menghairankan mahkamah ialah peguam yang menjalankan pemeriksaan balas terhadap saksi sebelum ini tidak membawa perkara ini kepada perhatian mahkamah. Begitu juga peguam plaintif tidak membantu atau mengarahkan saksinya untuk menjawab,” katanya.

1MDB dan anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited serta Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) telah memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.

Mereka menamakan Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas Ketua Pegawai Pelaburan Vincent Beng Huat Koh, bekas Pengarah Pelaburan Kelvin Tan Kay Jim dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.

Baru-baru ini, 1MDB bersetuju menghentikan saman sivil terhadap Radhi tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula. Sebelum itu, 1MDB turut menggugurkan nama Jasmine daripada saman itu.

Writ saman itu antara lain mendakwa plaintif telah menuduh defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa dan berkonspirasi untuk menyeleweng dana 1MDB.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama