SHAH ALAM - Pengisytiharan cuti peristiwa khas pada 1 September ini bersempena kejayaan Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 terpakai kepada semua penjawat awam Persekutuan dan negeri yang berkhidmat di Selangor.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan sektor swasta untuk memberikan cuti kepada pekerja masing-masing, tertakluk kepada pertimbangan majikan dengan mengambil kira keperluan operasi serta kelangsungan perkhidmatan dan perniagaan.
"Pelaksanaan cuti peristiwa khas ini tertakluk kepada peruntukan Subseksyen 9(1), Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri mengisytiharkan mana-mana hari sebagai hari kelepasan am (cuti peristiwa/tambahan) bagi negeri tersebut.
"Kemenangan ini juga diharapkan dapat menyemarakkan lagi budaya sukan serta menjadi inspirasi kepada rakyat Selangor untuk bergiat aktif dalam sukan dan mengejar kecemerlangan sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pentadbiran kerajaan negeri turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen Selangor yang telah menunjukkan semangat juang serta disiplin dalam mengharumkan nama negeri sepanjang SUKMA 2026.
Isnin lepas, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Majlis Penutup SUKMA 2026 yang berlangsung di Aneka Walk, SA Sentral mengisytiharkan 1 September sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA 2026.
Kontinjen Selangor mengumpul 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa, mengatasi Wilayah Persekutuan di tempat kedua dan Terengganu ketiga pada temasya yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 itu. - Bernama