SHAH ALAM - Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu bergerak melangkaui agenda perpaduan Melayu-Islam dengan merangkumi golongan sederhana serta parti bukan Melayu jika mahu menarik sokongan lebih luas, kata penganalisis.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali berkata, gabungan politik yang stabil sebelum ini lazimnya mempunyai sebuah parti Melayu dominan yang memimpin parti-parti lebih kecil, termasuk parti bukan Melayu.
Beliau memberi contoh formula tradisional BN yang diterajui UMNO bersama MCA dan MIC, selain Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama DAP dan Amanah.
Menurutnya, walaupun kerjasama BN-PN berkemungkinan boleh berjaya, gabungan yang mempunyai dua parti Melayu dominan berpotensi mencetuskan lebih banyak percanggahan.
“Kewujudan keseimbangan antara golongan sederhana dan konservatif hanya boleh berlaku dalam satu kolisi yang diketuai oleh sebuah parti Melayu dominan yang memimpin parti-parti kecil lain termasuk parti bukan Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, BN turut mencatat keputusan memberangsangkan menerusi parti komponen bukan Melayunya dalam dua pilihan raya negeri (PRN) terbaharu.
Di Johor bulan lalu, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk kerusi yang dimenangi calon MCA dan MIC.
MCA kemudian memenangi dua kerusi pada PRN Negeri Sembilan awal bulan ini.
John Siow Kong Choon menewaskan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di Chennah dengan majoriti 688 undi, manakala Koh Kim Swee merampas kerusi Repah daripada DAP dengan majoriti 444 undi.
Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, sebarang pakatan BN-PN atau kerjasama politik Melayu perlu meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa penyatuan berkenaan tidak mengancam kepentingan mereka.
“Melayu ialah majoriti, tetapi Malaysia bukan negara satu kaum,” katanya.
Menurut Zaharuddin, formula yang lebih kukuh bukan berasaskan konsep ‘Melayu lawan bukan Melayu’, sebaliknya ‘Melayu kuat, semua rakyat mendapat manfaat’.
Kebelakangan ini, PN yang diterajui Pas juga dilihat cuba meluaskan daya tarikannya.
Presiden Parti Wawasan Negara, Hamzah Zainudin sebelum ini berkata, parti baharunya mahu menjadi jambatan untuk PN mendekati kelompok pengundi lebih luas serta membantu membentuk gabungan yang lebih inklusif.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang sebelum ini berkata, perpaduan Melayu harus menjadi asas kepada kerjasama dengan kaum lain dan membuka ruang kepada agenda ekonomi bersama.
Sokongan luas
Zaharuddin berkata, persoalan lebih penting ialah matlamat BN-PN selepas parti-parti Melayu mencapai kerjasama.
“Jika pakatan Melayu hanya bertujuan menggabungkan kekuatan politik untuk memenangi pilihan raya, ia tidak banyak mengubah politik negara,” katanya.
“Namun, jika penyatuan itu mampu mengurangkan persaingan sesama parti Melayu dan mengalihkan tumpuan kepada ekonomi, pekerjaan dan tadbir urus, ia boleh menjadi sesuatu yang lebih besar.”
Menurutnya, mana-mana pakatan yang mahu menjadi alternatif kepada kerajaan perlu menawarkan dasar yang jelas berkaitan gaji, pekerjaan, pendidikan, perumahan, kesihatan, pelaburan dan peluang ekonomi.
“Di sinilah pakatan Melayu akan diuji,” katanya.
“Jika mereka mahu menjadi alternatif kepada kerajaan sedia ada, agenda mereka mesti lebih besar daripada isu Melayu-Islam.”
Katanya, pengundi akhirnya akan menilai kerjasama tersebut berdasarkan kesannya terhadap kehidupan mereka.
“Rakyat akan menilainya berdasarkan satu soalan yang lebih mudah: selepas kamu bersatu, hidup kami jadi lebih baik atau tidak?”