Edar Jalur Gemilang, dekati masyarakat hayati erti kemerdekaan

Iklan
Mohd Affifi (lapan dari kiri) bergambar bersama Persatuan Yakinkan Eratkan Sahabatkan Selangor dengan kerjasama Bahagian Trafik IPD Klang Utara.

KLANG - Program mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai bukan sekadar usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan, sebaliknya menjadi platform mendekati masyarakat dan mengajak mereka kembali menghayati erti sebenar kemerdekaan.

Pengerusi Persatuan Yakinkan Eratkan Sahabatkan Selangor, Mohd Affifi Mohd Aris berkata, pendekatan turun padang itu penting bagi memastikan semangat patriotisme tidak hanya diraikan menerusi acara rasmi, tetapi turut dirasai bersama masyarakat.

Iklan
Iklan

Katanya, sebanyak 1,000 Jalur Gemilang diedarkan kepada pengguna jalan raya dan masyarakat sekitar Pekan Meru, Kapar menerusi Program Semarak Jalur Gemilang Pemuda Kapar.

"Bulan Kebangsaan bukan sekadar satu sambutan, tetapi masa untuk kita menghayati kembali nilai kemerdekaan, perpaduan dan pengorbanan generasi terdahulu.

Iklan

"Melalui program ini, kita mahu menyemarakkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia, walaupun hanya dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan, ia membawa simbol kecintaan, kesetiaan dan kebersamaan kita kepada negara," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Affifi memasang Jalur Gemilang pada sebuah kenderaan di Pekan Meru, Kapar.

Iklan

Program itu dianjurkan Persatuan Yakinkan Eratkan Sahabatkan Selangor dengan kerjasama Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

Mohd Affifi yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kapar berkata, kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara agensi dan komuniti.

Beliau berharap program itu menjadi pemangkin kepada lebih ramai masyarakat khususnya di Meru, Kapar dan Klang untuk mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan.

"Kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga. Kemerdekaan ini milik kita bersama dan menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan perpaduan serta keharmonian negara," tambah beliau.