RCI Tabung Haji: UMNO, Pas takut bayang-bayang sendiri - Aziz Bari

Iklan
Abdul Aziz

IPOH - UMNO dan Pas disifatkan seolah-olah takut dengan bayang-bayang sendiri apabila mempertikaikan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu Tabung Haji (TH).

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, tindakan kedua-dua parti berkenaan termasuk mengadakan seminar dan mendesak penubuhan RCI baharu adalah sesuatu yang ganjil selepas laporan RCI berkenaan didedahkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, UMNO dan Pas perlu menerima hakikat bahawa suruhanjaya berkenaan ditubuhkan dan menyiapkan laporannya ketika kedua-dua parti itu sendiri berada dalam kerajaan.

"Suruhanjaya tersebut ditubuhkan serta menjalankan fungsinya mengikut kehendak undang-undang sebagaimana diperuntukkan oleh Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Iklan

Pada Selasa, program Musyawarah Nasional bertajuk Realiti dan Persepsi: Jangan Mempolitikkan TH berlangsung di Premiera Hotel Kuala Lumpur.

Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan

Ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan, Ahmad Zahid bersetuju dengan cadangan supaya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menubuhkan badan khas di bawahnya bagi menjalankan siasatan terhadap pengurusan Lembaga TH bagi tempoh selepas 2017 hingga kini.

Abdul Aziz berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah bertitah supaya tindakan diambil serta mengingatkan agar mereka yang terlibat dalam isu berkenaan dicari hingga ke 'lubang cacing'.

Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan UMNO dan Pas mengadakan seminar serta mahu RCI baharu adalah tidak selaras dengan perkara berkenaan kerana tempoh untuk siasatan sudah berakhir.

"Masa untuk siasatan sudah berlalu dan sekarang adalah masa untuk bertindak.

"UMNO dan Pas seakan-akan takut dengan bayang-bayang sendiri. Pas terutamanya enggan menggunakan medan yang disediakan dan sekarang bersekongkol dengan UMNO untuk mengalihkan perhatian kepada isu lain," katanya.

Menurut Abdul Aziz, isu Tabung Haji bukan hanya melibatkan kepentingan umat Islam, sebaliknya turut memberi kesan kepada semua kaum di Malaysia kerana langkah menyelamatkan institusi berkenaan turut melibatkan rakyat khususnya pembayar cukai.

Beliau berkata, desakan UMNO dan Pas berhubung perkara itu tidak perlu dilayan sebaliknya agensi penguat kuasa perlu segera mengambil tindakan.

Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lalu.