SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara dasarnya menyokong tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu dibuat selepas Biro Politik parti membincangkan perkara berkenaan dari pelbagai sudut.
Menurutnya, Bersatu mengambil maklum tindakan ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin dan ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus menyatakan sokongan kepada Wan Rosdy yang dibuat menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara mereka.
"Kedua-dua ADUN tersebut telah menyatakan hasrat mereka kepada pucuk pimpinan parti untuk berbuat demikian dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.
"Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan perkara ini dari segala sudut dan secara dasarnya menyokong tindakan tersebut,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Sebelum ini, Jasri dan Mohd Yazid Mohd Yunus menerusi kenyataan bersama memaklumkan mengambil pendirian menyokong kepimpinan Menteri Besar Pahang sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
Menurut mereka, keputusan tersebut dibuat demi menjamin kestabilan politik serta memelihara kebajikan rakyat di kawasan diwakili.
Justeru, Ahmad Faizal senada dengan menyatakan, keputusan tersebut bertujuan menjamin kestabilan politik di Pahang selain memastikan kebajikan rakyat di kedua-dua kawasan DUN berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri.