WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedang mempertimbangkan untuk menukar nama Tasik Ontario kepada 'Tasik Amerika' ketika perang dagangan bersama Kanada semakin memuncak.
Cadangan itu mengimbau kembali tindakan unilateral pemimpin Republikan itu yang menggunakan perintah eksekutif untuk menukar nama Teluk Mexico kepada 'Teluk Amerika'.
"Kami sedang meneliti perkara ini dengan serius kerana kami tidak lagi menjangkakan banyak urusan perdagangan dengan Ontario,” menurut Trump menerusi catatan di media sosial pada Selasa.
Ontario merupakan wilayah paling ramai penduduk dan menjadi pusat industri automotif negara itu.
Ketegangan antara kedua-dua negara semakin meningkat apabila Trump pada Isnin memberi amaran kepada pemimpin Kanada supaya 'menurut arahan' atau bakal berdepan tindakan yang jauh lebih buruk berbanding tarif sedia ada.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney mendakwa Washington cuba menguasai Kanada menerusi taktik perang tarif baharu tersebut setelah ia mengenakan levi 50 peratus bermula Sabtu lalu.
Tarif terbaharu yang dikenakan Trump melibatkan barangan Kanada bernilai kira-kira AS$20 bilion (RM80.5 bilion) bersamaan 5.5 peratus daripada keseluruhan eksport ke AS selepas rundingan perdagangan menemui jalan buntu pada saat akhir.
Sebagai langkah balas, Ottawa mengumumkan tarif antara 15 hingga 50 peratus ke atas lebih 700 produk bernilai AS$20 bilion (RM80.5 bilion) yang akan berkuat kuasa pada 8 September ini.
Menteri Kewangan Kanada, Francois-Philippe Champagne memberitahu tarif itu melibatkan beberapa sektor termasuk keluli, produk tenusu dan barangan elektronik.
“Kita sedang berdepan cabaran luar biasa. Namun, kita akan bersatu untuk menghadapinya,” ujarnya.
Menteri Industri, Melanie Joly turut menggesa rakyat agar menyokong perniagaan tempatan dan berikrar untuk bekerjasama dengan sekutu serta rakan dagangan baharu.
AS merupakan rakan dagangan terbesar Kanada menyumbang 70 peratus daripada keseluruhan eksport negara itu. Ottawa pula menjadi rakan dagangan kedua terbesar Washington dalam sektor barangan selepas Mexico. - Agensi