MATTA Fair: RHB Bank tawar peluang beli tiket penerbangan serendah RM1

Iklan
Dari kiri, Setiausaha Agung Kehormat MATTA, P Subramaniam; Naib Presiden MATTA, Mohd Hizzar Mohd Shah; Nigel; Vee Loc dan Head, Treasury RHB Bank, Nik Ahmad Zaki Nik Abdullah bergambar selepas sidang akhbar pengumuman RHB Bank sebagai rakan bank rasmi MATTA Fair September 2026

KUALA LUMPUR - Pengunjung Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) September 2026 berpeluang membeli tiket penerbangan serendah RM1 menerusi promosi istimewa RHB Bank Berhad apabila berbelanja minimum RM3,500 menggunakan kad RHB sepanjang acara tersebut.

Ketua Kewangan Pengguna RHB Bank Berhad, Sien Vee Loc, berkata pelanggan yang memenuhi syarat layak menyertai cabutan mesin gachapon di reruai RHB dengan peluang memenangi pelbagai hadiah menarik setiap hari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lebih 100 hadiah disediakan setiap hari, termasuk beberapa hadiah utama berupa tiket penerbangan RM1, selain kamera Insta360 dan hadiah berkaitan pelancongan.

"MATTA Fair September ini juga amat istimewa buat RHB kerana kami akan mengadakan pelancaran lembut bagi ciri-ciri baharu Kad Debit Pelbagai Mata Wang RHB yang bakal menawarkan lebih banyak nilai kepada pengguna.

Iklan

"Selain itu, bagi pembelian berkaitan perjalanan, RHB turut menawarkan pelan ansuran fleksibel sehingga sifar peratus faedah melalui peniaga yang mengambil bahagian, sekali gus membolehkan pelanggan mengurus perbelanjaan percutian dengan lebih selesa.

"Sepanjang MATTA Fair, pemegang kad RHB dan RHB Islamic boleh menikmati penjimatan sehingga RM1,500 bersama rakan pelancongan terpilih, termasuk Corporate Information Travel, Golden Destinations dan MITRA Tours & Travel," katanya ketika sidang akhbar MATTA Fair di sini pada Rabu.

Iklan

RHB Bank sekali lagi diumumkan sebagai rakan bank rasmi MATTA Fair bagi tahun keempat dan edisi kelapan.

Vee Loc berkata, matlamat RHB Bank adalah untuk menjadikan pengalaman melancong lebih mudah, fleksibel dan berbaloi, bermula daripada perancangan percutian, tempahan sehinggalah perbelanjaan di luar negara.

Katanya, salah satu penyelesaian utama adalah Kad Debit Pelbagai Mata Wang RHB yang membolehkan pelanggan menyimpan dan berbelanja dalam 34 mata wang menggunakan hanya satu kad.

"Ini bermakna pelanggan boleh membuat pembayaran seperti penduduk tempatan tanpa dikenakan caj penukaran mata wang tambahan, selagi mereka menggunakan baki mata wang asing yang dipilih.

"Pelanggan juga boleh menukar dan mengurus baki 34 mata wang tersebut dengan mudah menerusi aplikasi RHB Mobile Banking hanya dengan beberapa klik," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong, menekankan isu penipuan pakej pelancongan yang semakin berleluasa, khususnya menerusi platform dalam talian.

Tegas beliau, elemen kepercayaan dan keselamatan bukan sahaja penting ketika membuat pembelian, malah sepanjang tempoh pengembaraan. Justeru, kerjasama dengan RHB membantu menyediakan penyelesaian pembayaran dan kewangan yang selamat ketika melancong di luar negara.

"MATTA Fair menawarkan platform yang diyakini kerana semua pempamer terdiri daripada agensi pelancongan yang berlesen sepenuhnya di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Pengguna yang membeli daripada individu atau pihak tidak berlesen berisiko kehilangan wang dan rancangan percutian mereka sekiranya berlaku masalah," katanya.

Tambah beliau, kerjasama dengan RHB Bank menambah satu lagi dimensi kepada tawaran pelancongan terbaik, selain membolehkan pengunjung meneroka destinasi baharu, produk dan pengalaman baharu di MATTA Fair.

"Melalui tawaran ini, pengembara menikmati fleksibiliti yang lebih baik ketika merancang dan membuat pembelian percutian, sekali gus menyokong usaha merancakkan pelancongan domestik Malaysia.

"Kami juga berbesar hati mengumumkan kempen baharu Explore & Win untuk pengunjung yang membeli pakej percutian domestik di MATTA Fair. Antara hadiah menarik yang ditawarkan termasuk motosikal Honda Dash, pakej percutian domestik, pelbagai gajet dan banyak lagi," katanya.

MATTA Fair September 2026 bakal berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 4 hingga 6 September depan.

Edisi ke-59 pameran pelancongan terbesar negara itu bakal menghimpunkan 306 organisasi melibatkan 2,054 reruai di 10 dewan pameran seluas 40,820 meter persegi, menawarkan pelbagai pilihan destinasi domestik dan antarabangsa kepada pengunjung.

MATTA Fair September 2026 dibuka secara percuma kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 9 malam sepanjang tiga hari penganjurannya.

Bagi memudahkan perjalanan pengunjung, perkhidmatan bas ulang-alik percuma turut disediakan dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC.