Isu lesen premis judi: Kedah mungkin berdepan tuntutan ganti rugi - Sanusi

Iklan
Sanusi pada Sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah pada malam Selasa.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah berkemungkinan berdepan tuntutan ganti rugi susulan dasar tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis judi yang dilaksanakan sejak 2023.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri bersedia membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya operator premis perjudian terbabit mengemukakan tuntutan ganti rugi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah tuntutan berkenaan berpotensi mencecah ratusan juta ringgit, namun kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam mempertahankan pendiriannya.

“Tapi kita lawan dulu (di mahkamah) sebab sekupang (10 sen) pun duit kita nak bagi kepada syarikat judi, kita lawan sampai dinding,” katanya pada Sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah pada malam Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu yang menolak permohonan kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan membatalkan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan premis perjudian di Kedah.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin menolak permohonan itu secara sebulat suara serta memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.

Iklan

Sanusi berkata, sekiranya tuntutan ganti rugi dikemukakan, antara perkara yang perlu diteliti ialah jumlah pendapatan sebenar syarikat terbabit ketika menjalankan operasi di Kedah.

Katanya, perkara itu termasuk sama ada pendapatan yang diperoleh sebelum ini diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau sebaliknya.

“Kalau tidak isytihar dan ada tuntutan, mudah nak patahkan. Kalau isytihar, sebanyak mana mereka isytihar kena bicara di mahkamah.

“Kita perang lagi untuk mereka dapat ganti rugi selama kita tidak beri lesen premis,” ujarnya.

Menurutnya, proses berkenaan juga akan memberi gambaran mengenai jumlah keuntungan yang diperoleh syarikat perjudian terbabit sepanjang beroperasi di negeri ini.