Pertandingan Joran Emas Challenge 1.0 di Pantai Cherang Laut, di sini, bukan sekadar medan memburu hasil tangkapan, malah menjadi platform menghimpunkan komuniti kaki pancing selain memperkenalkan potensi kawasan berkenaan sebagai lokasi rekreasi dan memancing.
Ia akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga 1 petang pada 5 September depan.
Penganjur Acara Emas Sri Semantan, Abuya Akram berkata, penganjuran pertandingan julung kali diadakan itu bertujuan memeriahkan aktiviti memancing dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan kaki pancing, selain menarik penyertaan dari Kelantan dan negeri lain.
Menurutnya, pemilihan Pantai Cherang Laut dibuat kerana lokasinya sesuai untuk aktiviti memancing selain mempunyai suasana pantai yang menarik.
“Kami mahu pertandingan ini menjadi peluang memperkenalkan Cherang Laut dan Bachok kepada kaki pancing dari luar kawasan.
“Pada masa sama, kehadiran peserta dan keluarga mereka diharap dapat membantu merancakkan ekonomi setempat, khususnya peniaga makanan, pengusaha penginapan, perniagaan kecil dan penyedia perkhidmatan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menariknya, Kedai Emas Sri Semantan menawarkan hadiah utama berupa sekilogram emas 916 dan ia dijangka menjadi tarikan utama pertandingan memancing Joran Emas Challenge 1.0.
Sementara itu, dalam memastikan pertandingan berlangsung secara telus dan adil, semua peserta tertakluk kepada syarat yang sama.
“Setiap ikan yang berjaya dipancing akan diperiksa urus setia bagi memastikan spesies dan keadaannya memenuhi kategori serta peraturan ditetapkan.
“Ikan berkenaan kemudiannya ditimbang menggunakan peralatan yang ditetapkan sebelum berat direkodkan sebagai keputusan rasmi pertandingan,” katanya.
Penganjur turut memberi penekanan terhadap usaha memastikan pertandingan tidak terjerumus kepada unsur perjudian, selain mengelakkan penipuan serta ketidakadilan.
Katanya, struktur penyertaan, hadiah dan kaedah penentuan pemenang akan dijelaskan dengan terang bagi mengelakkan kekeliruan serta pertikaian dalam kalangan peserta.
Dalam pada itu, aspek kebersihan turut diberi perhatian, peserta dinasihatkan membuang sampah, tali pancing, bekas makanan dan bahan buangan di tempat yang disediakan.
Beliau berkata, tiada yuran dikenakan untuk penyertaan kerana mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan itu wajib membeli elektronik gold (e-gold) untuk melayakkan mereka sebagai peserta sekali gus menepis andaian pertandingan itu berunsur perjudian.
“Joran Emas Challenge 1.0 juga menawarkan elemen e-Gold dan pelbagai hadiah menarik untuk cabutan bertuah seperti kereta dan perkakasan elektrik. Elemen e-Gold dan cabutan bertuah hanyalah tarikan tambahan kepada peserta dan pengunjung,” katanya.
Penganjur menyasarkan penyertaan menggalakkan daripada kaki pancing tempatan dan luar Kelantan bagi edisi pertama.
“Sekiranya mendapat sambutan, kami mahu Joran Emas Challenge dijadikan acara bulanan sebelum diperluaskan ke lokasi pantai lain di seluruh Malaysia. Bermula dengan Kelantan, kemudian ke negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.
“Maklum balas peserta juga akan dijadikan panduan untuk menambah baik pengurusan, kategori, hadiah dan aktiviti sampingan untuk edisi kedua,” katanya.
Mereka yang berminat untuk menyertai Joran Emas Challenge 1.0, boleh mendaftar dengan imbas kod QR yang disediakan.