Bapa, anak sulung maut berpelukan dalam kebakaran, tinggalkan bayi baru lahir

Iklan
Nur Izzah (duduk, kiri) tidak mampu menahan sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di Kuala Nerus pada Rabu.

KUALA NERUS - Lelaki yang maut bersama anak sulungnya dalam keadaan berpelukan selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Tok Jembal, di sini pada awal pagi Rabu, meninggalkan isteri dan bayi yang baru dilahirkan.

​Dalam kejadian berkenaan, mangsa, Amirul Fahmi Wan Jusoh, 40, dan anaknya, Rehan Yusuf Amirul Fahmi, 9, ditemukan meninggal dunia di ruang atas kediaman tersebut.

Iklan
Iklan

​Isteri mangsa, Nur Izzah Ahmad, 36, yang baru melahirkan anak kedua mereka berusia tiga bulan, tidak dapat menahan sebak menceritakan perancangan arwah suaminya yang berhasrat berpindah ke rumah ibunya sebaik sahaja habis tempoh berpantang.

​Menurut Nur Izzah, arwah suaminya sempat bermalam di rumah ibunya di Kampung Paloh sebelum pulang ke kediaman mereka di Tok Jembal bersama anak sulung pada petang Selasa.

Iklan

"Arwah minta saya mohon cuti hari ini kerana Raees kurang sihat. Tak sangka pula hari ini saya bercuti disebabkan kejadian yang menimpa arwah," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), di sini pada Rabu.

Keluarga mangsa tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) pada Rabu.

Iklan

Nur Izzah, berkata, suaminya sebelum ini sudah merancang untuk berpindah sepenuhnya ke rumah ibunya selepas dia selesai berpantang anak kedua, namun terpaksa ditangguhkan kerana dia baru sahaja tamat tempoh berpantang anak keduanya yang berusia tiga bulan.

"Bulan depan arwah suami cakap kami akan pindah ke rumah ibu di sini dan dia sudah merancang macam-macam untuk rumah tu termasuk memasang pemanas air dan sebagainya.

"Banyak peralatan rumah dah dibawa ke rumah di sini. Disebabkan saya berpantang di rumah emak di Kampung Paloh, arwah tangguhkan hasrat untuk berpindah.

"Kelmarin, arwah datang ke rumah mentua dan bermalam di sana sebelum pulang ke Tok Jembal petang semalam bersama anak sulung," katanya.

Hasil perkahwinan sejak 2021, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Yusuf Ali, 4, dan Raees Yusuf, tiga bulan.

Keluarga mangsa yang hadir di Jabatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) pada Rabu.

​Sementara itu, ibu kandung kepada Rehan Yusuf, Siti Nasuha Mohd, 32, yang bekerja di Kuala Lumpur berkata, anak tunggalnya ada menghantar pesanan suara meluahkan rasa sayang kepada ahli keluarga pada malam sebelum kejadian.

​Siti Nasuha berkata, dia bergegas pulang dari ibu kota bersendirian dan tiba di Kuala Terengganu kira-kira jam 8 pagi Rabu selepas dimaklumkan mengenai tragedi berkenaan oleh ibu mentuanya.

​Jenazah dua beranak itu disolatkan di Masjid Jamek Tok Jembal sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Jembal di sini.