LUMUT – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan RM421,000 tahun ini bagi membiayai Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal (SBBP) untuk 214 pelajar daripada keluarga fakir dan miskin.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, peruntukan itu melibatkan 183 pelajar Tingkatan Lima dan 31 pelajar Tingkatan Empat yang cemerlang dalam pelajaran dengan setiap penerima menerima bantuan kewangan RM1,500 setahun.
Menurutnya, bantuan berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada sokongan kewangan malah pelajar turut diberikan kemudahan pembelajaran dan bimbingan bagi membantu mereka mencapai kecemerlangan akademik.
"Selain bantuan kewangan sebanyak RM1,500 setahun, pelajar turut menerima sokongan melalui program tuisyen secara dalam talian, program motivasi, Seminar Kecemerlangan SPM serta insentif kecemerlangan peperiksaan SPM.
"Program Seminar Kecemerlangan SPM 2026 ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan kecemerlangan dalam peperiksaan, selain memberi pendedahan mengenai kaedah menjawab soalan SPM, membentuk sikap positif serta meningkatkan keyakinan diri," katanya ketika merasmikan Program Seminar Kecemerlangan SPM 2026 di sebuah hotel di sini pada Rabu.
Program seminar berkenaan dilaksanakan di lima zon di seluruh Perak dengan melibatkan 183 pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan SPM tahun ini.
Dalam perkembangan sama, MAIPk turut menyampaikan 30 komputer riba bernilai RM60,000 kepada 30 pelajar SBBP hasil sumbangan Pintas Utama Sdn Bhd menerusi Program Kerjasama Wakalah MAIPk.
Sumbangan itu bertujuan menyediakan kemudahan pembelajaran lebih baik kepada pelajar, selain meningkatkan akses mereka kepada teknologi digital.
Inisiatif berkenaan turut mencerminkan kepentingan kerjasama MAIPk dengan pihak korporat dalam memperluaskan penyampaian manfaat zakat secara bersasar, khususnya bagi menyokong keperluan pendidikan dan pembangunan masa depan anak-anak asnaf.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari dan Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat, Wan Abdul Halim Hafiidz Mohd Amin.