KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan berpendirian tegas mempertahankan Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 di mahkamah sekiranya undang-undang berkenaan dicabar seperti mana enakmen terdahulu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya tidak gentar dengan perkara itu kerana enakmen baharu berkenaan melalui proses penggubalan yang sangat teliti dengan mengambil kira Perlembagaan Persekutuan serta alasan penghakiman dalam kes sebelumnya membabitkan peguam Nik Elin Zurina Nik Rashid.
“Siapa-siapa boleh cabar undang-undang dan mahkamah akan menentukan sama ada cabaran itu mempunyai asas atau tidak.
“Siapa nak cabar, terbuka. Kami bersedia untuk lawan di mahkamah dan peguam-peguam kami juga akan bersedia sekiranya perkara itu berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan peguam, Nik Elin yang mendakwa sekurang-kurangnya 11 peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 berpotensi dicabar di mahkamah.
Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang mengandungi 62 seksyen diluluskan sebulat suara Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 12 Ogos lalu menggantikan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2024 kerana tidak berperlembagaan dan melangkaui kuasa perundangan negeri.
Nik Elin, salah seorang pempetisyen dalam kes yang membawa kepada pembatalan 16 peruntukan terbabit pada Selasa menggesa kerajaan Kelantan agar tidak menguatkuasakan undang-undang semata-mata kerana ia ‘sedap didengar’.
Mohamed Fadzli berkata, keyakinan kerajaan negeri terhadap enakmen baharu itu dibuat selepas draf berkenaan diteliti oleh pelbagai pihak termasuk pakar undang-undang, syariah dan perlembagaan.
Katanya, Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) turut melantik dua pakar perlembagaan daripada universiti tempatan untuk meneliti rang undang-undang berkenaan.
“Pakar-pakar ini sudah meneliti dan memberikan pandangan. Kami ikut pandangan pakar termasuk perkara yang diperbaiki serta dibuat penyesuaian.
“Selepas dipersetujui Jawatankuasa Teknikal, Jawatankuasa Induk dan Jemaah Ulama MAIK, barulah rang undang-undang itu dibawa ke Sidang DUN dan diluluskan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut merujuk alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin ketika merangka enakmen berkenaan bagi memastikan peruntukan yang digubal berada dalam lingkungan bidang kuasa DUN.
“Kami rujuk kepada Perlembagaan dan diktum hakim yang memutuskan kes Nik Elin itu sendiri serta akhirnya rangka dengan begitu rapi supaya enakmen baharu ini berada dalam kerangka Perlembagaan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri turut menyusun peruntukan berkaitan kesalahan agama berdasarkan kerangka maqasid syariah dan bidang kuasa Mahkamah Syariah bagi memastikan alasan yang pernah digunakan dalam cabaran terhadap peruntukan terdahulu dapat ditangani dalam penggubalan enakmen baharu.
Menjawab kenyataan Nik Elin bahawa undang-undang tidak sepatutnya menjadi alat untuk menunjukkan siapa lebih berkuasa atau sekadar retorik politik, Mohamed Fadzli berkata, DUN ialah badan perundangan dan salah satu fungsi utamanya ialah menggubal undang-undang.
“DUN mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dalam perkara yang berada di bawah bidang kuasa negeri, justeru usaha kerajaan negeri meluluskan Enakmen Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 tidak boleh dianggap sebagai tindakan untuk mempamerkan kuasa.
“Bukan semua perkara adalah politik dan kerajaan negeri tidak berniat menggunakan undang-undang untuk menghukum sewenang-wenangnya, sebaliknya diwujudkan bagi mencegah kesalahan, memastikan keamanan dan keharmonian masyarakat,” katanya.