KLUANG – Seorang peniaga kenderaan terpakai didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran sah, awal bulan ini.
How Han Wei, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson tanpa kebenaran sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 6.30 petang pada 6 Ogos lalu di sebuah rumah di Taman Kluang Indah di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam, Yvonne Kee.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 28 September ini bagi serahan dokumen.
Sebelum ini, pada 17 Ogos lalu, How Han Wei antara empat lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan sebelum mayat mangsa ditemukan terapung dalam jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja.
Tiga lagi tertuduh ialah Yogesvaran Subramaniam, 40, Lim Yong Ming, 26, dan Achuthan Nagarajan, 32.
Kesemua mereka bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan kerana pertuduhan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.