Kes samun dua kedai emas masih dalam siasatan - Polis

Iklan
Azry mengiringi Ketua Pegawai Eksekutif MTNP, Datuk Mohd Lafzul Muda melawat reruai pameran PDRM pada Program Pencegahan Jenayah sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang 2026 di MTNP di sini pada Rabu.

KUANTAN – Polis masih menjalankan siasatan berhubung dua kes samun kedai emas di Genting Highlands dan Taman Pandan Damai di sini membabitkan kerugian dianggarkan hampir RM2 juta baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan ketika ini memberi tumpuan kepada rakaman percakapan serta keterangan saksi yang berada di lokasi kejadian

Iklan
Iklan

Menurutnya, kes masih dalam siasatan dan pihaknya tidak boleh mendedahkan maklumat-maklumat terbaharu yang diperoleh.

"Setakat ini tiada mana-mana pihak tampil menyalurkan maklumat baharu kepada polis berkaitan kejadian terbabit," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pencegahan Jenayah sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang 2026 di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) di sini pada Rabu.

Sebelum ini Pahang digemparkan dengan dua kes samun kedai emas dalam tempoh empat hari melibatkan kerugian hampir RM2 juta.

Iklan

Kes samun di Genting Highlands berlaku pada 17 Ogos lalu melibatkan tiga lelaki melarikan 81 barang kemas seberat kira-kira 2.5 kilogram bernilai lebih RM1.7 juta

Sementara itu, pada 21 Ogos lalu, empat lelaki bersenjata menyamun barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 dari sebuah kedai emas di Taman Pandan Damai di sini.

Sebelum ini, polis memaklumkan siasatan awal mendapati kedua-dua kejadian terbabit tidak mempunyai kaitan dan melibatkan suspek berbeza.

Polis turut meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan kedai emas sebagai langkah pencegahan susulan kedua-dua kejadian berkenaan.

Azry sebelum ini memaklumkan polis masih memburu suspek bagi kedua-dua kes tersebut.