Rakyat Malaysia ditahan seludup ‘vape dadah’ ke Medan

Iklan
Pegawai polis menyoal siasat seorang warga Malaysia yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam pengedaran vape mengandungi bahan terlarang di Medan, Sumatera Utara. - Agensi

MEDAN – Taktik seorang rakyat Malaysia menyembunyikan vape disyaki mengandungi dadah di celah lipatan pakaian dalam bagasi terbongkar selepas dia ditahan bersama kekasihnya di Medan, Sumatera Utara.

Lelaki berusia 22 tahun yang dikenal pasti sebagai FCB itu dipercayai berulang kali membawa masuk vape dari Malaysia untuk dijual di bandar tersebut dengan bantuan kekasihnya, wanita tempatan berusia 35 tahun dikenali sebagai N.

Iklan
Iklan

Pasangan itu ditahan ketika berada di dalam sebuah kereta di kawasan parkir rumah kedai di Jalan Cemara, Percut Sei Tuan, Deli Serdang pada malam 19 Ogos lalu.

Ketua Unit Siasatan Narkotik Polis Metropolitan Medan (Polrestabes Medan), Asisten Komisioner Polis Rafli Yusuf Nugraha berkata, serbuan dilakukan susulan maklumat mengenai kegiatan seorang lelaki dan wanita yang disyaki mengedar vape mengandungi dadah.

Iklan

“Ketika kami menahan mereka, kedua-duanya berada di dalam kereta. Kami menemukan 24 vape mengandungi dadah yang disimpan di dalam beg galas,” katanya.

Siasatan kemudian membawa polis ke rumah sewa pasangan berkenaan di Jalan PWS, Medan Petisah.

Iklan

Pemeriksaan di premis itu menemukan lima lagi vape disyaki mengandungi dadah, selain wang tunai RM15,000 yang disimpan di dalam sebuah peti besi.

Polis percaya wang berkenaan merupakan hasil daripada kegiatan penjualan bahan terlarang itu.

“Secara keseluruhan, sebanyak 29 ‘pod getar’ dirampas. Wang ringgit Malaysia tersebut disyaki hasil penjualan dadah,” kata Rafli.

Siasatan mendapati FCB dan N pada awalnya berkenalan menerusi media sosial sebelum hubungan mereka berlanjutan sehingga kedua-duanya bertemu di Malaysia.

Pasangan itu kemudiannya dipercayai bersetuju mengedarkan vape disyaki mengandungi dadah di Medan.

Menurut polis, FCB dipercayai membawa 20 vape dari Malaysia pada Julai lalu dan kesemua bekalan itu berjaya dijual dengan bantuan teman wanitanya.

“Pembelinya kebanyakannya rakan N yang berada di Kota Medan,” ujar Rafli.

Suspek dipercayai menggunakan modus operandi menyelitkan vape berkenaan di antara lipatan pakaian sebelum memasukkannya ke dalam bagasi untuk dibawa dari Malaysia.

Selepas bekalan pertama habis dijual, FCB didakwa kembali membawa masuk 40 vape menggunakan kaedah sama.

Polis percaya 29 unit yang dirampas merupakan baki daripada bekalan kedua tersebut.

Kes itu kini berkembang kepada usaha mengesan rangkaian lebih besar selepas pihak berkuasa Indonesia percaya terdapat individu lain yang menjadi pembekal kepada suspek di Malaysia.

Rafli berkata, Polrestabes Medan akan bekerjasama dengan Polis Malaysia bagi mengesan individu yang dipercayai menjadi ‘bos’ kepada kedua-dua suspek.

Ujian air kencing terhadap pasangan itu juga dilaporkan positif etomidate.

“Kami telah menjalankan ujian air kencing terhadap kedua-duanya dan hasilnya positif etomidate. Kes ini masih dalam siasatan.

“Kami akan berkoordinasi dengan Polis Malaysia untuk menangkap bos kepada kedua-dua suspek,” katanya.

Etomidate merupakan bahan anestetik yang turut dikesan disalahgunakan dalam vape, manakala pihak berkuasa Indonesia sejak kebelakangan ini meningkatkan perhatian terhadap pengedaran bahan tersebut.

Kes berkenaan turut menambah kebimbangan mengenai aliran vape mengandungi etomidate dari Malaysia ke Indonesia.

Dalam kes berasingan sebelum ini, pihak berkuasa Indonesia turut mendedahkan rangkaian yang membawa masuk vape mengandungi bahan berkenaan dari Malaysia melalui laluan laut ke Dumai, Riau.-Agensi