OGUN - Seorang wanita warga emas berusia 101 tahun ditahan pada Sabtu selepas dipercayai menjual kanabis kepada penduduk setempat di bahagian barat daya Nigeria.
Memetik laporan BBC, Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) memaklumkan wanita terbabit yang dihuraikan personalitinya sebagai moyang dikenali dengan nama Esther Ogunmabo.
Pengarah Media NDLEA, Femi Babafemi berkata, wanita itu ditemui bersama ganja jenis ‘skunk’ seberat kira-kira 90 gram yang didakwa dijual dalam pek kecil kepada penduduk tempatan.
Menurutnya, Ogunmabo memberitahu pihak berkuasa bahawa dia mula terbabit dalam kegiatan berkenaan selepas kedai barangan keperluannya musnah dalam kebakaran.
"Dia mendakwa menjual bahan itu kepada penduduk tempatan," katanya.
NDLEA turut mendakwa salah seorang anak perempuan Ogunmabo yang menetap di Lagos mendapatkan bekalan ganja untuknya setiap empat hari.
Bekalan itu kemudiannya didakwa dijual semula dalam kuantiti lebih kecil kepada pelanggan di komuniti berkenaan.
Ketua Eksekutif NDLEA, Mohamed Marwa mengarahkan supaya wanita warga emas itu dibebaskan dengan jaminan dan diberikan kaunseling mengambil kira faktor usia lanjutnya.
Bagaimanapun, pembebasan dengan jaminan tidak bermakna Ogunmabo terlepas daripada tindakan undang-undang dan dia masih boleh didakwa atas kesalahan berkaitan.
Anak perempuannya turut ditahan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.