Bapa, anak lelaki maut dalam kebakaran rumah

Iklan
Keadaan sebuah rumah yang hangus dalam kebakaran di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, awal pagi Rabu.

KUALA NERUS​ - Seorang bapa dan anak lelaki maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Tok Jembal di sini awal pagi Rabu.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihak polis menerima makluman awal berhubung kejadian itu daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira jam 4 pagi.

Iklan
Iklan

​Menurutnya, bertindak daripada laporan, anggota ronda cegah jenayah Balai Polis Gong Badak terus dikerah ke lokasi kejadian dan tiba jam 4.10 pagi.

​"Pemeriksaan lanjut di dalam kediaman itu kemudiannya mendapati dua penghuni iaitu seorang lelaki dewasa berusia 40 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun telah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus awal pagi Rabu.

​Mengulas lanjut, Azli berkata, operasi pemadaman dilakukan dengan kekuatan 16 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus serta BBP Kuala Terengganu.

Iklan

​Katanya, api dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.10 pagi.

​"Punca sebenar kebakaran dan anggaran jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya.