'Go Sulong go! Sikit saja lagi tu'

Iklan
Sulong kelihatan berjalan menuju ke arah Gua Musang. FOTO: Tular

KOTA BHARU –"Go Sulong go! Sikit saja lagi tu. Semoga Sulong berjaya sampai ke kampung halaman dan hidup dengan aman dan harmoni."

Demikian ayat dalam salah satu hantaran yang dimuat naik oleh warganet di Facebook bagi mendoakan Sulong selamat pulang ke Gua Musang.

Iklan
Iklan

Kisah seekor gajah jantan dikenali sebagai Sulong Chalil yang dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke habitat asalnya di Gua Musang selepas dipindahkan ke Gerik, Perak, mengundang simpati warganet.

Lebih menyentuh hati, perjalanan lebih 300 kilometer (km) itu ditempuh Sulong dalam keadaan kaki hadapan kanannya mengalami kecederaan, menyebabkan orang ramai tidak putus-putus mendoakan keselamatan hidupan liar berkenaan.

Iklan

Hantaran seorang pengguna Facebook, Mohd Fadli Salleh yang menceritakan kisah Sulong turut tular dan mendapat perhatian ramai.

Menurutnya, nama Chalil diambil daripada nama kampung tempat Sulong membesar di Gua Musang, menyebabkan gajah berkenaan dikenali sebagai Sulong Chalil.

Iklan

"Beberapa ketika dulu, penduduk di Gua Musang membuat aduan kerana ada kumpulan gajah masuk ke kebun dan membahayakan penduduk.

"Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pergi ke Gua Musang, menangkap Sulong sebelum memindahkannya ke hutan Gerik, Perak," katanya dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, seekor gajah jantan liar dewasa dengan kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan yang dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik sejak 17 Ogos lalu dilaporkan dalam keadaan baik.

Perhilitan Semenanjung Malaysia dalam satu kenyataan berkata, hasil pemantauan mendapati keadaan fizikal dan tingkah laku gajah berkenaan adalah normal selain masih mampu makan serta bergerak dengan baik.

Keadaan luka pada kaki gajah itu juga semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Memandangkan gajah berkenaan masih kembali ke kawasan jalan raya, pemantauan dan tindakan menggiring akan diteruskan oleh Perhilitan Perak setiap hari dengan kekerapan dua kali sehari iaitu pada waktu siang serta malam.

Ujar Mohd Fadli Salleh dalam hantarannya itu, beberapa hari selepas dipindahkan ke Gerik, orang ramai mula terserempak dengan seekor gajah yang berjalan di sepanjang Jalan Raya Gerik-Jeli pada 17 Ogos lalu.

Orang ramai yang terserempak dengan Sulong mendakwa haiwan berkenaan tidak menunjukkan sifat agresif.

Tambahnya, selepas gambar dan video gajah berkenaan tersebar, haiwan itu disahkan sebagai Sulong yang dipercayai sedang berusaha kembali ke tempat asalnya di Gua Musang.

"Sulong dipercayai homesick dan rindukan tempat asalnya. Dengan nalurinya, dia berjalan kaki berhari-hari.

"Sekarang Sulong dah dekat Jeli, dah berjalan lebih 100 kilometer melalui Banjaran Titiwangsa pulang ke tempat asal," katanya.

Menurut hantaran berkenaan, orang ramai yang terserempak dengan Sulong mendakwa haiwan berkenaan tidak menunjukkan sifat agresif, sebaliknya terus berjalan menuju ke arah dipercayai Gua Musang.

Namun, keadaan kaki hadapan kanan Sulong yang luka mengundang lebih banyak simpati, dengan ada netizen mendakwa kecederaan itu mungkin berpunca daripada rantai besi ketika proses pemindahan sebelum ini.

Di ruangan komen, seorang warganet menulis:"Luka hati saya melihat luka di kakimu. Semoga ALLAH pelihara kebajikan kamu Sulong Chalil dan semoga selamat sampai."

Seorang lagi berkongsi perkembangan keadaan Sulong dengan berkata kaki gajah berkenaan masih bengkak, namun lukanya semakin kering.

"Doakan kaki Sulong yang bengkak itu surut. Luka di kaki dah makin kering. Ada air bisa sikit di depan kaki dia.

"Lebih kurang 100 kilometer lagi perjalanan nak sampai ke destinasi. Semoga ALLAH berikan kesembuhan dan permudahkan perjalanan Sulong," katanya.

Hantaran berkenaan turut disusuli pelbagai komen warganet yang berharap Sulong berjaya sampai ke Gua Musang dengan selamat dan kembali hidup aman di habitat asalnya.

Kisah perjalanan Sulong itu bukan sahaja mencetuskan rasa simpati, malah mengingatkan orang ramai mengenai naluri semula jadi haiwan liar untuk kembali ke kawasan yang dikenalinya.