Tugas biasa, risiko luar biasa

Iklan
Seorang anggota APM meninggal dunia dipatuk tedung selar ketika melakukan latihan demonstrasi pengendalian reptilia di Dewan Taman Temerloh Jaya, Temerloh, Sabtu lalu.

SEJAUH mana kita mampu menjangka sesuatu yang buruk akan berlaku?

Persoalan itu kembali bermain di fikiran selepas seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Temerloh, Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, meninggal dunia dipatuk tedung selar ketika melakukan latihan demonstrasi pengendalian reptilia di Dewan Taman Temerloh Jaya, Temerloh, Sabtu lalu.

Iklan
Iklan

Allahyarham dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) selepas tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Zon Merah sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.50 pagi Ahad.

Tragedi itu mengingatkan kita kepada satu hakikat yang kadangkala sukar diterima – tugasan yang sudah biasa dilakukan tidak bermakna risikonya turut menjadi biasa.

Iklan

Apatah lagi apabila tugas berkenaan membabitkan haiwan liar yang tindak balasnya tidak semestinya dapat dijangka.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, jika sesuatu tugasan mempunyai risiko, mengapa ia masih dilakukan?

Iklan

Persoalan itu wajar dibangkitkan. Namun, penilaian terhadap aspek keselamatan perlu dibuat berdasarkan fakta dan maklumat lengkap, bukan andaian atau spekulasi.

Dan kejadian seperti ini bukan sesuatu yang mustahil berlaku kepada mereka yang sememangnya berpengalaman.

Pada 2018, anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh di Bukit Angin, Abu Zarin Hussin, yang terkenal kemahiran menangkap dan menjinakkan ular, meninggal dunia selepas dipatuk ular tedung ketika cuba menangkap reptilia berkenaan di Bentong.

Enam tahun kemudian, seorang lagi anggota APM, Muhammad Afiq Ammar, 25, meninggal dunia selepas rebah ketika menjalani latihan larian kira-kira tujuh kilometer di Port Dickson.

Allahyarham koma selama 44 hari sebelum disahkan meninggal dunia, sedangkan aktiviti fizikal berkenaan dilaporkan dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dan turut disediakan stesen air.

Kisah-kisah ini berbeza dari segi keadaan dan puncanya, tetapi mempunyai satu persamaan yang wajar direnungkan.

Mereka keluar menjalankan tugas, membantu orang lain atau melaksanakan latihan yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab, tetapi akhirnya mereka sendiri menjadi mangsa.

Risiko

Di sinilah kita perlu melihat tragedi bukan semata-mata melalui persoalan bagaimana ia berlaku, tetapi juga apa yang boleh dipelajari daripadanya.

Pengalaman dan kemahiran sememangnya penting. Namun, pengalaman tidak menjadikan seseorang kebal daripada risiko.

Begitu juga prosedur keselamatan. Ia penting untuk mengurangkan risiko, tetapi tidak mampu menghapuskan semua kemungkinan yang tidak dijangka.

Lebih-lebih lagi apabila tugas membabitkan haiwan liar, keadaan persekitaran atau faktor fizikal manusia yang boleh berubah pada bila-bila masa.

Sebab itu, setiap tragedi perlu menjadi ruang untuk menilai semula tahap keselamatan.

Kita boleh berhati-hati, membuat persediaan awal, mematuhi prosedur dan meningkatkan tahap keselamatan, namun tetap ada perkara yang berada di luar kawalan manusia.

Itulah hakikat risiko ia tidak semestinya hadir ketika kita tidak bersedia, tetapi boleh muncul ketika sesuatu tugasan kelihatan paling biasa.

Bagi mereka yang menjalankan tugas untuk melindungi dan membantu orang lain, risiko itu sebahagian daripada pekerjaan. Tetapi menerima hakikat tersebut tidak bermakna kita harus menerimanya tanpa usaha untuk mengurangkan risiko.

Sebaliknya, setiap tragedi perlu menjadi peringatan untuk memperkukuh persediaan, memperbaiki kelemahan dan memastikan mereka yang berada di barisan hadapan mendapat perlindungan sebaik mungkin.

Dan apabila tragedi berlaku, yang tinggal bukan sekadar persoalan bagaimana ia boleh terjadi, tetapi tanggungjawab kita untuk memastikan pengorbanan itu tidak berlalu tanpa pengajaran.

Al-Fatihah buat Allahyarham Muhamad Muazam. Semoga segala urusan keluarga yang ditinggalkan dipermudahkan dan diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini.

*Norawazni Yusof ialah Wartawan Sinar Harian Pahang