Mangsa Perodua Viva terbabas dalam perjalanan pulang ke rumah - Polis

Iklan
Kejadian itu menyebabkan pemandu dan dua lagi penumpang meninggal dunia di lokasi.

KUNAK - Tiga sekeluarga yang dilaporkan maut dalam kemalangan pada Selasa dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kalabakan, Tawau ke rumah mereka di Kampung Sungai Langgas.

Dalam kejadian tersebut, tiga lagi ahli keluarga lain dilaporkan cedera termasuk seorang daripadanya cedera parah.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintenden Rejali Angong berkata, kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 6.03 petang melibatkan sebuah Perodua Viva yang terbabas di Kilometer 7, Jalan Kunak - Semporna.

"Dalam kejadian itu, kenderaan tersebut dipandu seorang lelaki tempatan bersama lima ahli keluarganya iaitu dua dewasa dan tiga kanak-kanak.

Iklan

"Difahamkan kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kalabakan menuju ke rumah mereka di Kampung Sungai Langgas, Kunak, dan sebaik tiba di lokasi, kenderaan telah hilang kawalan lalu terbabas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah beliau, kejadian itu menyebabkan pemandu dan dua lagi penumpang meninggal dunia di lokasi.

Iklan

"Seorang penumpang mengalami kecederaan parah dan dua lagi penumpang mengalami kecederaan ringan.

"Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Rejali dalam pada itu berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mansor Suhara di talian 013-5975643.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan tiga sekeluarga yang maut merupakan nenek, menantu dan cucu manakala tiga individu lain cedera.

Dalam kejadian itu, kesemua mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan tersebut.