PRU16: Kembalinya Azmin Ali, otai reformasi mampu perkukuh PKR - Penganalisis

Iklan
Misrinah berkata, Azmin mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan penting menjelang Pilihan Raya PRU16, terutama selepas Datuk Seri Rafizi Ramli keluar daripada PKR. Foto fail

KUALA LUMPUR - Kembalinya semula bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama pasukannya mampu mengukuhkan semula parti itu, sekali gus mencerahkan peluang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan pentadbiran bagi penggal kedua.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Misrinah Misban berkata, berdasarkan pengalaman Azmin dalam menguruskan parti, termasuk ketika Anwar berada dalam penjara, beliau mempunyai keupayaan untuk memainkan peranan penting menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), terutama selepas Datuk Seri Rafizi Ramli keluar daripada PKR.

Iklan
Iklan

“Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan prestasi Azmin dalam menguruskan parti sebelum ini lebih baik berbanding Rafizi. Kembalinya Azmin mampu mengukuhkan PKR dan meningkatkan peluang Anwar untuk menyambung tugas sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua.

Anwar ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, MITC, baru-baru ini memohon maaf selain merayu kepada bekas pemimpin dan aktivis parti itu supaya kembali ke landasan perjuangan PKR

Iklan

Ketua Penerangan Wanita PKR, Ginie Lim, turut memuat naik gambar bersama bekas pemimpin PKR, Tian Chua dan Xavier Jayakumar, ketika kongres berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaffar, dan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman, dijangka menyertai semula PKR susulan gesaan Anwar kepada veteran parti supaya kembali ke pangkuan PKR.

Iklan

Kamarudin, yang juga bekas Timbalan Menteri Luar, dilaporkan berminat untuk menyertai Cabang PKR Cheras, manakala PKR Wilayah Persekutuan dikatakan tidak mempunyai masalah untuk menerima kemasukannya.

Mengulas lanjut, Misrinah berkata, meninggalkan Bersatu di saat lemahnya parti itu, adalah pilihan yang perlu dipertimbangkan masak-masak oleh Azmin.

"Walaupun begitu, bak sirih pulang ke gagang, bagai belut pulang ke lumpur, Azmin amatlah didambakan oleh Anwar.

“PKR dan Azmin memerlukan antara satu sama lain bagai aur dengan tebing di dalam landskap politik tanah air hari ini,” jelasnya. - Awani