KUALA LUMPUR - Dua gagasan berimpak tinggi, Batik Seri MADANI dan Malaysia Film Industry Expo (MFIX), dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta pasaran baharu kepada golongan belia dalam sektor ekonomi kreatif negara.
Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), Khairul Rizam Dato’ Abu Samah berkata, kedua-dua inisiatif itu dirangka bagi mengkomersialkan karya tempatan selain memastikan belia bukan sekadar menjadi tenaga kerja, sebaliknya tampil sebagai pemilik ekonomi kreatif.
Menurutnya, sektor kreatif mempunyai potensi besar untuk melahirkan kerjaya berpendapatan tinggi dan pada masa sama memperkukuh identiti negara.
“Belia perlu diberi peranan sebagai pengusaha, pemilik harta intelek (IP) dan rakan strategik industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian susulan pembentangan kertas cadangan berhubung kedua-dua gagasan berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Majlis Perasmian Menara FINAS pada Isnin.
Khairul Rizam berkata, Perdana Menteri turut meluangkan masa mengunjungi reruai MBWP pada majlis berkenaan bagi mendapatkan penerangan mengenai konsep, cadangan pelaksanaan dan sasaran impak Batik Seri MADANI serta MFIX.
“Perdana Menteri turut diperlihatkan bahan visual dan kertas cadangan yang dibangunkan MBWP,” katanya.
Menurutnya, MFIX dicadangkan sebagai hab ekosistem nasional dan platform digital yang menghubungkan pencipta kandungan, juruvideo, animator serta penggiat teknikal belia secara terus dengan penerbit, pelabur dan pembeli kandungan antarabangsa.
“Platform ini turut menyediakan portal pekerjaan, latihan industri dan pitching hub bagi membantu bakat muda mendapatkan peluang dalam industri,” katanya.
Sementara itu, Batik Seri MADANI pula menggabungkan teknik batik blok tradisional dengan reka bentuk kontemporari, teknologi digital serta nilai teras Malaysia MADANI.
Katanya, pendekatan itu berpotensi melahirkan lebih ramai pembatik muda, pereka, usahawan kreatif dan pengusaha yang mampu membawa produk batik tempatan ke pasaran lebih luas.
Dalam pada itu, Khairul Rizam berkata, MBWP komited bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi, FINAS, institusi pendidikan dan sektor swasta bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu memberi manfaat kepada pemain industri dan masyarakat.
“Fokus utama kita adalah membina jambatan daripada bakat kepada pekerjaan, dan daripada idea kepada pasaran.
“Kerjasama antara kerajaan, penggiat industri dan belia akan memastikan ekosistem ini kekal mampan serta memberi pulangan ekonomi nyata kepada negara,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Belia Kreatif Malaysia (BeKreatif) berkata, komitmen berterusan kerajaan penting bagi mempercepatkan usaha menterjemahkan kreativiti anak muda kepada perniagaan mampan.
Menurutnya, langkah itu sekali gus mampu menjadikan sektor ekonomi kreatif sebagai antara pemacu penting masa depan ekonomi Malaysia.