IPOH - Seekor gajah jantan liar dewasa yang mengalami kecederaan pada kaki hadapan sebelah kanan dan dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik sejak 17 Ogos lalu dilaporkan dalam keadaan baik.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dalam satu kenyataan berkata, hasil pemantauan mendapati keadaan fizikal dan tingkah laku gajah berkenaan adalah normal selain masih mampu makan serta bergerak dengan baik.
Menurutnya, keadaan luka pada kaki gajah itu juga semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
“Memandangkan gajah berkenaan masih kembali ke kawasan jalan raya, pemantauan dan tindakan menggiring akan diteruskan setiap hari dengan kekerapan dua kali sehari iaitu pada waktu siang serta malam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jabatan itu berkata, kesiapsiagaan anggota di lapangan turut diperkukuh termasuk mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal serta kecederaan gajah berkenaan dan keperluan tindakan susulan.
Dalam pada itu, pengguna JRTB khususnya di sekitar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa dinasihatkan memperlahankan kenderaan dalam lingkungan lima kilometer sebelum tiba di R&R berkenaan dari kedua-dua arah.
“Pengguna hendaklah sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas Jabatan Perhilitan sekiranya berada di kawasan pemantauan.
“Orang awam juga diminta tidak mengambil gambar atau video gajah kerana tindakan tersebut boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pemberian makanan atau meletakkan makanan untuk gajah adalah ditegah di sepanjang JRTB.
Jabatan Perhilitan turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak berhenti atau keluar dari kenderaan sekiranya hidupan liar berada di bahu jalan selain tidak menunjukkan tingkah laku agresif atau apa-apa bentuk provokasi.
“Orang awam yang menggunakan JRTB, khususnya laluan sekitar Gerik dan R&R Titiwangsa diminta sentiasa berhati-hati, tidak panik serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin,” katanya.
Sebarang aduan berkaitan gajah berkenaan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi Jabatan Perhilitan.
Terdahulu tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 28 saat memaparkan seekor gajah berjalan di atas jalan raya dalam keadaan kaki kanannya mengalami kecederaan.