29 kawasan catat IPU tidak sihat

Iklan
Pemandangan di sekitar Putrajaya kabur berikutan jarak penglihatan terjejas akibat jerebu yang melanda pada Selasa. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Sebanyak 29 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 2 petang ini, dengan Selangor mencatatkan jumlah terjejas tertinggi iaitu enam kawasan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata, kemerosotan kualiti udara dikesan terutama di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia, serta beberapa kawasan di Sarawak berikutan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi di Selangor iaitu 173, diikuti Shah Alam (162), Kuala Selangor (153), Petaling Jaya (152), Klang (151) dan Banting (146).

Di Perak, kawasan terlibat ialahTanjung Malim (157), Taiping (155), Tasek Ipoh (155), Pegoh Ipoh (153) dan Seri Manjung (152), serta Minden (156), Seberang Perai (152) dan Balik Pulau (139) di Pulau Pinang.

Iklan

Di Sarawak, IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi iaitu 182, diikuti Sri Aman (170), Kuching (160), Samarahan (156) dan Sarikei (153).

Kawasan lain yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Bukit Rambai (155) dan Alor Gajah (152) di Melaka; Nilai (154) dan Seremban (152) di Negeri Sembilan; Segamat, Batu Pahat dan Tangkak di Johor (masing-masing 152); Putrajaya (155); Batu Muda, Kuala Lumpur (154); serta Sungai Petani, Kedah (153).

Iklan

Azuri Azizah berkata jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan di Kalimantan Barat, Indonesia dan bergerak ke utara menuju bahagian barat Sarawak, manakala kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan di bahagian lain Kalimantan, serta tengah dan selatan Sumatera.

Beliau berkata, laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) berdasarkan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) pada 24 Ogos merekodkan 287 titik panas di Kalimantan, 65 di Sumatera manakala 11 titik panas dikesan dalam negara iaitu lapan di Sarawak, dua di Johor dan satu di Selangor.

Beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Kalimantan Barat, barat Sarawak, barat Semenanjung Malaysia serta selatan dan tengah Sumatera turut merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat hingga sangat tidak sihat.

Susulan keadaan itu, JAS meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka dan situasi jerebu.

Ini termasuk persediaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana, sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, selain langkah seperti menghentikan aktiviti luar darjah, menutup sekolah, tadika dan taska serta melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA).

Orang ramai boleh memantau bacaan IPU terkini menerusi laman sesawang APIMS DOE atau aplikasi MyJAS EQMS. - Bernama